SHAH ALAM: Keputusan kerajaan mengarahkan siasatan berhubung laporan Malaysia mengalami kerugian besar akibat rasuah dan ketirisan adalah langkah tepat berikutan setiap RM1 yang dibelanjakan mesti mempunyai hasil dan impak diinginkan kepada rakyat dan negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, langkah-langkah pencegahan juga perlu diambil untuk memastikan ketelusan secara radikal dalam semua urusan kerajaan.

“Keputusan yang sangat baik oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk mengarahkan siasatan kerugian yang besar dialami negara akibat rasuah dan ketirisan.

“Antara langkah pencegahan diambil untuk memastikan ketelusan dalam semua urusan kerajaan seperti hanya mengamalkan sistem tender terbuka. Tiada lagi rundingan terus atau tender terhad selain monopoli dalam perniagaan sepatutnya dihapuskan.

“Oleh itu, model input-output-outcome atau hasil-impak (IOOI) mesti dipraktikkan dalam semua peringkat perolehan daripada perancangan bajet sehingga pelaksanaan bajet,” katanya kepada Sinar Ahad.

Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pihaknya mengarahkan agar siasatan dijalankan berhubung laporan Malaysia mengalami kerugian mencecah RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun akibat rasuah dan ketirisan.

Sebelum ini, EMIR Research memaklumkan, Malaysia dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun disebabkan rasuah dan ketirisan.

Mengulas lanjut, Rais Hussin menekankan kepentingan penting penerapan yang padu IOOI dalam sektor awam di Malaysia sebagai salah satu cara yang paling terpantas untuk membina semula potensi nasionalnya dalam setiap aspek.

“Kami ingin menekankan sekali lagi betapa pentingnya pelaksanaan pendekatan IOOI untuk kebaikan negara ini.

“Hanya pemimpin yang benar-benar berminat untuk membina semula Malaysia daripada runtuhan akan mengutamakan dan memperjuangkan pelaksanaan IOOI di pelbagai sektor perkhidmatan awam.

“Sebaliknya, mereka yang ingin mengekalkan budaya ketirisan itu akan mengabaikan, menangguhkan atau menentang secara langsung,” jelasnya. - Sinar Harian