Keputusan status representasi kes GISB diketahui Khamis ini

Antara 21 pemimpin syarikat perniagaan berkenaan didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang. - Gambar fail
KAJANG: Status representasi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISB), Nasiruddin Mohd Ali dan 21 pemimpin tertinggi perniagaan itu untuk mengkaji kes menjadi ahli kumpulan jenayah terancang akan diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis.
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi Shah Alam akan memutuskan status representasi Nasiruddin Mohd Ali dan 21 pemimpin GISB Holdings pada Khamis, berhubung pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020, yang dikemukakan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.
- Peguam tertuduh telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengkaji semula pertuduhan, termasuk cadangan menukar kepada seksyen dan hukuman lebih rendah, namun pihak pendakwaan membantah permohonan jaminan bagi semua tertuduh lelaki.
- Sepanjang proses perundangan, hanya tertuduh wanita dibenarkan diikat jamin dengan syarat tambahan, manakala tertuduh lelaki kekal dalam tahanan. Kesemua tertuduh sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Selepas prosiding terbabit, peguam, Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili semua tertuduh berkata, pihaknya mengemukakan representasi supaya AGC dapat mengkaji semula pertuduhan yang dihadapi.
Menurutnya, permohonan berkenaan termasuk menukar kepada seksyen dan hukuman yang lebih rendah.
Pada 23 Oktober 2024, Nasiruddin, 66, isterinya, Azura Md Yusof; 58, anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari, 33 dan 19 pemimpin tertinggi perniagaan itu didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, masing-masing atas satu pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020 lalu.
Mereka ialah lapan tertuduh wanita iaitu Hamimah, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45; Mahani Kasim, 55; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nurul Jannah Idris, 29; dan Nur Jannah Omar, 33.
Sementara itu, 11 tertuduh lelaki lain ialah Hasnan Abd Hamid, 54; Mohd Shukri Mohd Noor, 54; Mokhtar Tajuddin, 61; Shuhaimi Mohamed, 57; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Tiada jaminan diberikan kepada semua tertuduh memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.
Pada 23 Disember 2024, Mahkamah Sesyen Selayang membenarkan kes yang dihadapi 22 tertuduh itu dipindahkan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Susulan itu, mereka selaku pemohon, merayu kepada mahkamah supaya dilepaskan dengan jaminan sehingga kes itu didengar dan diputuskan, namun pihak pendakwaan membantah permohonan tersebut.
Pada 13 Januari lalu, Hamimah yang juga akauntan GISB menjadi tertuduh pertama yang dilepaskan dengan jaminan.
Pada 24 Mac lalu, semua tertuduh lelaki gagal dalam permohonan untuk dilepaskan dengan jaminan namun Mahkamah Tinggi membenarkan tertuduh-tertuduh wanita diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin.
Ia termasuk syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap dua minggu, hadir ke mahkamah pada setiap tarikh yang tetapkan dan tidak mengganggu mana-mana saksi sepanjang tempoh jaminan. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


