KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menafikan Kementerian Kesihatan (KKM) bertindak pilih kasih terhadap jemaah umrah apabila memutuskan untuk menangguh perjalanan untuk ibadat itu selama sebulan bermula Sabtu ini.

Beliau menegaskan, keputusan itu dibuat berdasarkan data-data yang diperolehi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Saya hendak menjelaskan di sini, pengembara yang positif COVID-19 yang dikesan di pintu masuk antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada minggu epidemiologi (ME) ke-52 iaitu minggu terakhir tahun 2021. Pada minggu tersebut terdapat  1,842 kes.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 85 peratus atau 1,558 kes membabitkan pengembara yang kembali dari Arab Saudi," katanya pada sidang media di Parlimen di sini pada Khamis.

Khairy menambah data itu dikemukakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada Kabinet semalam, yang menunjukkan kes positif COVID-19 paling banyak direkodkan dalam kalangan jemaah umrah.

Malah katanya, daripada kes-kes itu, varian Omicron paling banyak dikesan daripada pengembara dari Arab Saudi yang mengerjakan umrah.

"Itu fakta, itu sebabnya KKM membuat keputusan untuk menangguh ibadat umrah untuk memperlahankan penularan jangkitan COVID-19 terutamanya yang melibatkan varian Omicron," jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, 55 daripada 91 jemaah umrah daripada sebuah syarikat pelancongan dikesan positif sewaktu ujian prapelepasan dan mereka dikuarantin di hotel di Arab Saudi. 

"Baki 36 individu merupakan kontak rapat tetapi mereka dibenarkan untuk menaiki pesawat dan pulang ke Malaysia. Mereka tidak diasingkan dan apabila mereka kembali ke Malaysia 24 daripada mereka disahkan positif COVID-19 dengan empat varian Omicron.

"Ini adalah satu lagi sebab kenapa keputusan dibuat untuk menangguhkan dahulu... untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP)  misalnya kontak rapat, mereka tidak boleh terus dibenarkan pulang," katanya.

Sehubungan itu Khairy sekali lagi menasihatkan jemaah umrah supaya mematuhi SOP kuarantin dan tidak bertemu dengan mana-mana individu dalam tempoh itu.

Dalam pada itu beliau memberitahu, terdapat beberapa kluster baharu yang dikesan dalam kalangan jemaah umrah yang menular sehingga membabitkan tiga generasi.

"Misalnya Kluster Keratong 5 yang melibatkan dua kes indeks yang menyebabkan 28 kes positif sehingga menular tiga generasi. Jangkitan pertama kepada kontak keluarga di Rompin, generasi kedua melibatkan 15 individu lagi dan generasi ketiga adalah melibatkan tujuh orang di Mersing.

"Ini adalah contoh bagaimana mereka yang kembali menjalani kuarantin di rumah menyebabkan jangkitan berlaku dan menular sehingga generasi ketiga.

"Sebagai langkah berhati-hati dan pencegahan, maka kita membuat keputusan jemaah yang pulang dari Arab Saudi sebelum penangguhan menjalani kuarantin di stesen kuarantin atau hotel swasta," jelasnya.

Katanya kerajaan mengambil keputusan untuk menangguh umrah untuk tempoh sebulan bagi membuat penilaian risiko.