Kematian akibat keracunan arak tidak lagi terhad ke Lembah Klang sahaja dengan dua kematian turut dilaporkan di Perak.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam (Rabu) mengumumkan angka kematian di Lembah Kelang sahaja telah meningkat ke 21 dengan polis berkata 19 daripada kematian itu berlaku di Selangor.

Di PERAK, dua lelaki warga tempatan dari Bandar Baru Putra, Bercham disahkan meninggal akibat keracunan arak masing-masing pada Isnin dan Selasa lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan.

Mangsa yang berumur 50 tahun meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh pada awal pagi Isnin, manakala seorang lagi yang berusia 39 tahun maut di Hospital KPJ pada awal pagi Selasa.

"Sementara itu, dua lelaki tempatan berusia 41 dan 53 tahun berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi HRPB, manakala seorang mangsa lelaki berusia 35 tahun dilaporkan stabil di hospital yang sama," katanya dalam satu sidang media hari ini.

BACA: Keracunan arak: 21 kematian, dua dilapor di luar fasiliti KKM

Mengulas lanjut, Sivanesan berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai membeli arak tiruan di kedai menjual alkohol di sekitar Bercham dan Tanjung Rambutan di sini.

Sivanesan berkata minuman beralkohol yang disyaki diminum oleh kesemua mangsa adalah berjenama 'King Fisher Beer' dan 'Grand Royal Whisky'.

"Kita menjangka kira-kira 20 hingga 30 kes keracunan arak berlaku dalam tempoh terdekat.

"Keracunan arak menyebabkan mangsa mengalami simptom seperti mata kabur, loya dan muntah, sesak nafas, sakit perut serta sakit badan dan mereka yang mengalami simptom berkenaan perlu mendapatkan rawatan di hospital yang berhampiran," katanya.

BACA: 12 serbuan, 7 tangkapan berhubung kes keracunan arak

Di JOHOR pula, sehingga ini tiada kes keracunan alkohol dilaporkan dan kerajaan sedang memantau keadaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai kes berkenaan.

"Bagaimanapun, (kita) kena pastikan pemantauan dijalankan di setiap premis yang menjual alkohol untuk mengelakkan kejadian di Selangor tidak berlaku di Johor," kata beliau ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Menurut Sahruddin, memandangkan kebanyakan kes yang dilaporkan melibatkan warga asing, diharapkan peniaga lebih berhati-hati dalam menjual minuman beralkohol dan hanya minuman beralkohol yang kandungan alkoholnya lulus sahaja dijual.

"Kepada pihak pengedar atau pengilang pula dikehendaki menghasilkan alkohol seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan," tambah beliau.

Di SABAH, Bernama belum menerima apa-apa laporan akan keracunan arak termasuk di pulau bebas cukai Labuan di mana pelbagai jenis arak turut dijual.

DI SHAH ALAM, jumlah mangsa yang maut akibat keracunan alkohol setakat pukul 1 petang tadi meningkat kepada 20 orang berbanding 19 mangsa malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata peningkatan satu kematian itu melibatkan warga tempatan menjadikan setakat ini dua rakyat Malaysia maut selain warga Nepal (lima), Myanmar (sembilan), India (seorang), Bangladesh (dua) dan individu tidak diketahui identiti (seorang).

Seramai 16 lagi mangsa masih menerima rawatan perubatan manakala 20 mangsa telah dibenarkan keluar dari hospital, katanya.

"Mangsa yang telah dibenarkan keluar terdiri daripada empat warga tempatan, 33 warga Myanmar, warga Nepal (26), warga Bangladesh (10), warga India (dua) dan seorang individu tidak diketahui identiti," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata setakat ini, hanya 56 mangsa keracunan alkohol termasuk yang maut direkodkan pihaknya di Selangor.

Di KOTA BAHRU, Ketua Polis Kelantan mengesahkan belum ada kes kematian kerana keracunan arak sehingga ini.

Setakat pukul empat petang ini, juga tiada kes dilaporkan di Perlis, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, dan Kedah. -- Bernama