Kerajaan mengambil pendirian bahawa kadar penjualan air kepada Singapura perlu disemak semula selepas republik itu mendakwa Malaysia kehilangan hak terbabit kerana tidak melakukan semakan harga air yang sepatutnya dibuat pada 1987 dan 2012.

Menurut Menteri Air, Tanah Dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar, hasrat kerajaan ini telah disampaikan kepada pemerintah Singapura.

Dalam masa sama, Xavier memaklumkan, kerajaan menghormati obligasi Malaysia seperti termaktub dalam Perjanjian 1962.

Beliau juga berharap Singapura dapat menerima cadangan daripada kerajaan dalam memberikan subsidi kepada Singapura dengan menjual air mentah pada kadar yang amat rendah.

“Saya minta sebab kita faham dan kita akan lakukan sesuatu pada masa akan datang. Contohnya China - Hong Kong (RM14.50/1000 gelen), China - Macau (RM6.80/1000 gelen), China - Taiwan (RM5.80/1000 gelen), dan Turkey - Cyprus (RM10.37/1000 gelen) mahupun penjualan air mentah dalam negara seperti di Pahang - Selangor (RM0.46/1000 gelen), dan Johor - Melaka (RM0.50/1000 gelen),"

"Manakala kepada Singapura 3 sen sahaja” katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Santhara Kumar Ramanaidu (PH-Segamat) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Beliau turut menjelaskan, subsidi yang telah diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada Singapura sejak tahun 1962 mencecah berbilion ringgit.

Jumlah ini, kataya, tidak termasuk bekalan air mentah percuma yang diberikan kepada Singapura dari tahun 1927 hingga 1961.


BACA: Singapura nak air murah, tapi tak mahu bantu Malaysia buat jambatan baharu - Tun Mahathir