Kementerian Kerja Raya komited dalam memastikan jalan tanpa tol, terutama jalan persekutuan, sentiasa dalam keadaan baik dan selesa untuk diguna.

Menterinya Datuk Fadillah Yusof berkata kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk mewujudkan pelan tindakan jalan raya bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas untuk tempoh 17 tahun akan datang.

Menerusi Rancangan Malaysia ke-10 misalnya, kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM10.4 bilion untuk melaksanakan 470 projek memperluas, menaik taraf dan membina jalan baharu di seluruh negara, katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata untuk tahun ini, sebanyak RM1.07 bilion disediakan bagi menyelenggara jalan persekutuan sepanjang 17,550 kilometer.

Fadillah berkata demikian sebagai mengulas usaha kerajaan dalam mewujudkan jalan alternatif kepada pengguna jalan raya berikutan kemungkinan kenaikan kadar tol di beberapa lebuh raya tahun ini.

Sementara itu Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Muhammad Sha'ani Abdullah berharap kerajaan mengkaji sistem lalu lintas terutama lampu isyarat yang turut memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesesakan.

"Bagi menjamin kelancaran, ia perlu dilihat pada lokasinya, iaitu jika didapati lokasi atau persimpangan tertentu memiliki jumlah kenderaan yang kecil, maka lampu isyarat itu mungkin boleh dihapuskan atau dipercepatkan tempoh pertukaran lampu isyarat," katanya.

Muhammad Sha'ani berkata Fomca juga berharap kerajaan mengenakan kadar yang berpatutan dan munasabah sekiranya kenaikan tol tidak dapat dielakkan.

Seorang pengguna jalan raya, Safwan Ahmad, 33, berkata beliau cenderung memilih laluan bertol bagi menjamin kelancaran perjalanan terutama di waktu puncak.

"Pengguna menggunakan jalan bertol kerana nak cepat dan lancar ke sesuatu lokasi terutama tempat kerja, berbanding jalan biasa yang agak sesak.

"Jadi kalau ada sistem jalan raya yang lebih pantas, cekap dan efisien, laluan bertol tidak mustahil akan hanya menjadi laluan alternatif yang hanya diguna pada masa-masa tertentu sahaja," katanya.