Kerajaan akan perjelas cadangan mengenai penjualan saham Bumiputera - Mustapa

Bernama
Oktober 2, 2021 20:24 MYT
Mustapa berkata, DEB terbukti berjaya terutama dalam mentransformasi golongan Bumiputera dalam bidang pendidikan walaupun kejayaan itu tidak ketara dalam sektor ekonomi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat untuk memberi penjelasan mengenai cadangan penjualan saham atau syarikat Bumiputera yang akan hanya ditawarkan serta dijual kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera lain, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
"Saya sedar terdapat kekeliruan mengenainya dan kita perlu menjelaskan perkara tersebut. Penjelasan itu akan kita lakukan pada masa yang sesuai," katanya dalam program bual bicara Money Matters terbitan stesen TV3 di sini, semalam.
Mustapa menjelaskan, pemilikan saham Bumiputera itu merangkumi ekuiti dimiliki oleh individu dan institusi dengan mandat Bumiputera yang keseluruhannya berjumlah kira-kira 17.2 peratus daripada pemilikan saham pada 2019.
"Apa yang kita maksudkan dalam cadangan itu adalah institusi berkenaan termasuk Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tabung Haji dan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas), hanya boleh menjual saham-saham yang ia miliki kepada institusi, konsortium atau individu Bumputera," katanya.
Ditanya punca golongan Bumiputera masih ketinggalan dalam pemilikan ekuiti biarpun selepas 50 tahun pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), beliau sebaliknya menegaskan bahawa dasar itu terbukti berjaya terutama dalam mentransformasi golongan Bumiputera dalam bidang pendidikan walaupun kejayaan itu tidak ketara dalam sektor ekonomi.
Menurutnya, antara alasan pemilikan ekuiti Bumiputera hanya bertahan pada kira-kira 16-17 peratus sejak beberapa tahun lepas adalah faktor termasuk keadaan Bumiputera yang berpendapatan rendah, mempunyai pekerjaan dengan gaji kecil serta kemahiran teknikal yang rendah.
"Inilah alasannya atau tujuan dasar kita untuk meningkatkan peratusan pemilikan saham Bumiputera...kita juga sedaya upaya mahu memastikan bahawa saham-saham dalam tangan Bumiputera iaitu yang dimiliki oleh institusi dengan mandat Bumputera, sebanyak mungkin akan terus kekal dalam pegangan Bumiputera dan hanya boleh dijual kepada institusi, konsortium atau pun individu Bumiputera," katanya.
BACA: Syarat 51 peratus ekuiti Bumiputera dalam industri logistik tidak adil - Shafie Apdal
BACA: RMK-12: Perkasa ekonomi Bumiputera semasa dan pasca COVID-19
Pada Isnin lepas ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan memperkenalkan kerangka jaringan keselamatan ekuiti bagi memastikan pemilikan ekuiti Bumiputera yang mampan.
Menurut perdana menteri, pegangan dan pelupusan pemilikan oleh syarikat Bumiputera juga akan dikawal selia oleh kementerian dan agensi berkaitan.
-- BERNAMA
#Mustapa Mohamed #saham #kekeliruan #ekuiti bumiputera #RMKe-12