KUALA LUMPUR : Dasar kerajaan yang menetapkan semua syarikat dalam industri logistik tempatan untuk mendapatkan 51 peratus ekuiti Bumiputera merupakan satu bentuk diskriminasi, kata Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.

Beliau menyifatkan, dasar itu yang ditunda pelaksanaannya dari hujung tahun ini kepada 1 Disember 2022, sebagai menganaktirikan industri tempatan.

"Ini kerana keperluan 51 peratus ekuiti Bumiputera yang ditetapkan adalah tidak terpakai kepada syarikat antarabangsa atau asing.

"Parti Warisan difahamkan ini kerana industri ini telah diliberalisasikan di bawah kebanyakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA). Oleh yang demikian, mana-mana syarat yang berbentuk menindas syarikat asing boleh dikira suatu pelanggaran di bawah FTA," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, langkah kerajaan untuk mengenakan ekuiti ini kepada pemain industri tempatan adalah satu tindakan yang tidak adil.

"Pihak kami berpendirian sekiranya pihak kerajaan telah memutuskan untuk meliberalisasikan industri ini dan terbuka kepada syarikat antarabangsa tanpa apa-apa syarat lain (sebagaimana prinsip “national treatment” di bawah FTA), seharusnya prinsip yang sama terpakai kepada pemain tempatan juga.

"Keduanya, Parti Warisan ingin menyarankan agar pihak kerajaan meneliti dengan sepenuhnya pelaksanaan dasar ini, terutamanya kesediaan pemain Bumiputera untuk membeli ekuiti syarikat-syarikat berkenaan.

"Sekiranya tidak dikaji dengan baik, adalah dikhuatiri kebanyakan syarikat dalam industri ini
tidak akan bertahan dan terpaksa gulung tikar. Ini lagi membimbangkan sekiranya peratusan pembeli Bumiputera yang layak dan mampu untuk mengambil alih ekuiti dalam industri adalah rendah, terutamanya ketika negara mengharungi pandemik COVID-19," jelas beliau.

Kesan daripada itu, pemain industri tempatan terpaksa menjual syarikat mereka kepada syarikat asing, tambah Shafie.

Katanya, ini merupakan satu langkah yang memudaratkan kerana ia akan menambahkan jurang pemilikan ekuiti antara syarikat tempatan dan antrabangsa.

"Mengikut data yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), pemilikan ekuiti warga asing meningkat dari 37.2% pada tahun 2011 kepada 45.3% pada tahun 2015. Pegangan ekuiti bukan Bumiputera menurun dari 34.8% kepada 30.7% dalam tempoh yang sama. Manakala pemilikan ekuiti Bumiputera turut jatuh dari 23.4% kepada 16.2%," ujar beliau lagi.

Oleh yang demikian, katanya kerajaan seharusnya memberikan keutamaan kepada syarikat dalam negara untuk menjadi berdaya saing dan mampu untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

"Adalah perlu untuk mengurangkan jurang sosioekonomi antara kaum di Malaysia, namun demikian ia perlulah dilaksanakan secara adil dan saksama. Ia tidak seharusnya dilaksanakan secara menindas dengan memberi kelebihan kepada industri asing mahupun golongan elit Bumiputera semata-mata," katanya.