Kerajaan mengalu-alukan cadangan untuk menggubal Akta Sabotaj Ekonomi memandangkan ia akan membantu memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, undang-undang dicadangkan itu juga akan membendung penjualan kontrak dan Permit Import (AP)

"Projek dijamin dan AP yang diberikan kepada mereka (pemilik perniagaan) sebelum ini, dijual untuk mendapatkan keuntungan cepat daripada urusniaga berkenaan

"Kita menganggap ini sebagai sabotaj kepada ekonomi dan sudah tentu kita mahukan penalti yang serius dan hukuman dikenakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada majlis penutup Sidang Kemuncak Anti Rasuah 2018, di sini, hari ini.

Undang-undang itu dicadangkan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, pada pembentangannya di Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018, awal bulan lepas.

Azmin berkata, cadangan itu masih di peringkat awal dan kerajaan berminat untuk membicangkannya dengan lebih lanjut dengan GIACC.

Tambahnya, kerajaan juga akan melihat untuk memperkukuhkan peruntukan sedia ada dan undang-undang tanpa memperkenalkan Akta baharu.

-- BERNAMA