MALAYSIA
Kerajaan bakal perkenal skim lindungi pekerja di luar waktu bekerja – PM Anwar

Perdana Menteri Anwar (tengah) diiringi Ahmad Zahid (dua dari kiri) dan Steven Sim (dua dari kanan) menghadiri Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 di Kuala Lumpur, pada Isnin. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal memperkenalkan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) yang akan memperluaskan lagi perlindungan kepada pekerja di luar waktu bekerja, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, cadangan itu dibuat susulan perubahan waktu serta konsep bekerja yang berubah selari dengan peredaran masa.
“Ini berpunca daripada kesedaran bahawa tekanan kerja tidak terhenti di pintu kilang atau pejabat (semata-mata). Dalam era susunan kerja yang fleksibel dan jarak jauh, pembaharuan ini akan menyelaraskan perlindungan dengan realiti kehidupan dan cara kerja masyarakat masa kini.
“Dan yang paling penting, ia akan meluaskan perlindungan sepanjang masa, mengiktiraf bahawa kemalangan dan kecederaan tidak mengikut jadual waktu,” katanya lagi.Perdana Menteri berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 bertemakan “Membentuk Keselamatan Sosial Untuk Dunia Yang Sedang Berubah” di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, pada Isnin.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Ketika ini terdapat dua skim – Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, yang memberi pelindungan kepada pekerja sewaktu di bawah waktu bekerja.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad sewaktu dalam persidangan Dewan Rakyat berkata, SKBBK bertujuan bagi memastikan liputan perlindungan 24 jam sehari dalam tempoh tujuh hari seminggu kepada pekerja yang layak semasa tempoh penggajian.
Beliau berkata, SKBBK akan meliputi kemalangan yang tidak terbit daripada dan dalam masa menjalankan pekerjaan serta tidak berkait secara langsung dengan penggajiannya.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri menegaskan, perlindungan sosial bukan sekadar sistem birokrasi pemberian faedah, tetapi ia harus dilihat sebagai infrastruktur moral.
Dalam tradisi Islam, Anwar berkata, baitulmal diwujudkan bagi memastikan kekayaan digunakan untuk membantu golongan miskin, balu, anak yatim dan warga emasdan, legasi itu terus menjadi sumber inspirasi kepada negara.
“Berpandukan prinsip-prinsip ini, Malaysia sedang membentuk semula sistem perlindungan sosialnya.
“Kita sedang meluaskan perlindungan kepada mereka yang selama ini berada di luar jaringan keselamatan: pekerja sektor informal, suri rumah, dan penunggang gig yang menghantar ke pintu rumah kita tetapi menikmati sedikit jaminan keselamatan sebagai balasan,” katanya lagi.
Selain itu Perdana Menteri berkata, negara turut bersiap sedia menghadapi masyarakat yang semakin menua, dengan statistik menunjukkan menjelang tahun 2030, satu daripada tujuh rakyat Malaysia akan berumur lebih 60 tahun.
“Perubahan ini akan memberi kesan besar kepada bentuk masyarakat kita, dan kita mesti bersedia. Warga emas membawa kebijaksanaan dan kemahiran.
“Tugas kita ialah menyediakan penjagaan di mana perlu, tetapi juga membolehkan mereka terus menyumbang, agar proses penuaan dilihat sebagai fasa bermaruah dan penuh potensi,” kata Anwar lagi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami