PUTRAJAYA: Kerajaan akan menubuhkan Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM) dalam usaha memperkukuh ekosistem perundangan syariah di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.

Ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan kira-kira 30 badan bukan kerajaan (NGO) wanita Islam di sini hari ini, Zulkifli berkata proses penubuhan JPSM kini dalam peringkat perbincangan.

"Kita ingin tubuh JPSM dan ia sedang dalam peringkat perbincangan, moga ia dapat dihasilkan dan keseluruhan ekosistem perundangan syariah diperkukuhkan," katanya.

Beliau berkata kerajaan komited melaksanakan pemerkasaan perundangan syariah secara sistematik dan teratur termasuk menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

"Bukan sahaja RUU 355, kita akan bawa RUU lain seperti RUU mufti, pindaan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) dan ada beberapa lagi. Kita bergerak secara menyeluruh bukan sahaja aspek RUU 355," katanya.

Zulkifli berkata inisiatif penubuhan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia (AKSM) juga merupakan komitmen kerajaan untuk mempertingkat pengetahuan, kemahiran dan kapasiti di mahkamah syariah.

"Pemerkasaan perundangan syariah telah dilaksana dan berlaku begitu sistematik dan teratur," katanya.

Ahad lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata sesi libat urus mengenai RUU 355 kini di peringkat akhir dan laporannya akan dibawa ke Kabinet dan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Mengenai pertemuan dengan NGO wanita hari ini, Zulkifli berkata Majlis Wanita Islam YADIM (MAWIM) akan menjadi penaung kepada gerakan wanita Islam bagi melaksanakan aktiviti dengan dibantu kerajaan dari aspek teknikal dan lain-lain.

"Kerajaan MADANI amat ambil berat tentang segmen dan hal ehwal aspek wanita. Kita ingin selaras, seragam dan kukuhkan aktiviti (libat NGO wanita)," katanya.

-- BERNAMA