JASIN: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata sistem saraan perkhidmatan awam masih belum dimuktamadkan sepenuhnya memandangkan kajian terperinci sedang dilaksanakan kerajaan.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata setakat ini, belum ada pengumuman khusus terhadap skim saraan baharu itu, selain pekeliling dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memaklumkan suatu kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam diperkenalkan ke arah mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam di Malaysia.

"Maka, pendirian saya kita memberi peluang kepada pihak yang berwajib untuk memberikan penjelasan dan insya-Allah, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tadi memberikan penjelasan yang lebih penuh akan diberi termasuk konteks (berhubung skim baharu itu) sama ada bebanan hutang negara dan juga sebarang implikasi kewangan yang memberi kesan dari segi perbelanjaan mengurus setiap tahun di peringkat Persekutuan.

"Jadi, sekiranya kita ingin memberi komen, bagi saya wajar kita bersikap adil dan mendapatkan penjelasan penuh (daripada pihak berkaitan)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA di Kampung Pulai, Serkam di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pengarang Bernama Nur-Ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman dan Pengarah Projek HAWANA merangkap Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Fahmi menyampaikan sumbangan berkenaan kepada bekas penerbit rancangan RTM Melaka Norazlin Mohamad, 52, yang kini menghidap masalah buah pinggang dan diabetes sehingga menyebabkan kaki kanannya terpaksa dipotong.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara kajian yang sedang dijalankan ialah skim itu juga turut terpakai kepada wakil rakyat dan menegaskan ia tidak bersifat retrospektif iaitu memberi kesan kepada lantikan terdahulu.

"Dalam isu sama ada (penjawat awam) tidak lagi berpencen selepas ini, kita akan kaji juga contohnya kalau penjawat awam pengambilan baharu, lantikan baharu, maka Ahli Parlimen selepas itu juga tidak berpencen.

"Tapi pencen ini penting sama ada untuk kakitangan awam, anggota pentadbiran atau Ahli Parlimen, semua mempunyai punca kuasa daripada akta-akta, dan akta-akta seperti yang kita semua sedia maklum tidak bersifat retrospektif, bermaksud ia tidak terpakai untuk yang sedang dalam perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata skim baharu itu juga perlu diluluskan di Parlimen sebelum ia boleh dikuatkuasakan oleh kerajaan dan meminta rakyat tidak mensensasikan perkara berkenaan sehingga boleh menimbulkan fitnah.

"Maka, beri sedikit ruang untuk kita mendapatkan maklumat penuh. Isunya ialah kadangkala berita disensasikan tanpa maklumat penuh dan hal itu menjadi fitnah ... ini yang sedikit merisaukan," katanya.

-- BERNAMA