KLANG: Kerajaan masih belum menetapkan tarikh sebenar pelaksanaan penyasaran subsidi diesel meskipun secara prinsipnya ia akan dilaksanakan pada tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu hanya akan dilaksanakan sekiranya Jemaah Menteri berpuas hati dengan segala mekanisme penyasaran tersebut termasuk memastikan semua kumpulan sasar layak mendapatkan bantuan sosial.

"Jadi apa yang boleh saya sebutkan di sini, sebagaimana yang disebut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara prinsipnya Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan penyasaran semula subsidi bahan api diesel pada tahun ini.

"Namun selagi mana Jemaah Menteri belum berpuas hati dengan mekanisme dengan penyasaran tersebut dalam sistem penentuan kumpulan sasar bantuan sosial tersebut, maka Kerajaan belum tetapkan tarikh pelaksanaan itu.

"Sebaik sahaja Kerajaan memperkemaskan, memperkukuhkan, mekanisme yang kedua itu iaitu pemberian bantuan sosial kepada golongan sasar barulah saya fikir Kerajaan akan buat pengumuman dari segi tarikh pelaksanaan itu. Kita sasarkan kepada mereka yang layak dibantu dan bukan bantuan subsidi secara pukal," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Fleet Card di Kawasan Rehat dan Rawat Klang Utara Lebuhraya Grand Sepadu pada Khamis.

Armizan berkata, penyasaran semula bahan api diesel itu bukan sahaja melibatkan kementeriannya, malah beberapa kementerian lain iaitu Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perladangan dan Komoditi dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 28,000 syarikat pengangkutan darat telah mendaftar dan mendapat kelulusan dalam pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0) setakat Rabu.