LABUAN: Kerajaan Persekutuan akan memberi fokus kepada penyelesaian masalah kemudahan asas untuk rakyat daripada mengutamakan kepada projek pembangunan infrastruktur yang masih boleh ditangguhkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Labuan ke tanah besar Sabah yang menelan belanja melebihi RM6 bilion masih bukan keutamaan kerajaan.

"Pembinaan jambatan Labuan itu adalah cadangan lama, kita perlu tengok keupayaan dan jumlah peralihan penduduk dan ianya tidak memungkinkan pembinaan jambatan itu ekonomik.

Dalam rancangan pembangunan Labuan, kita mengambil langkah-langkah menyegerakan isu-isu rakyat yang penting iaitu bekalan air. Saya tidak boleh menerima kenyataan, memacu pembangunan ekonomi pesat dan menarik pelaburan beratus bilion ringgit tetapi masalah asas masih belum diselesaikan," katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan Labuan di sini hari ini.

Anwar berkata sebanyak RM300 juta diperuntukkan untuk menyelesaikan masalah berlarutan gangguan bekalan air di Labuan dalam Belanjawan 2024 Malaysia MADANI.

Dalam pada itu, beliau berkata antara usaha memacu pembangunan ekonomi Labuan akan melibatkan peranan pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Labuan (Labuan IBFC), Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia.

"Selewatnya akhir Januari tahun hadapan, Bank Negara, Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti akan mengadakan satu sidang bagi mencari jalan bagaimana kita mampu mengangkat semula peranan Labuan sebagai pusat perniagaan dan kewangan yang tersohor di rantau ini.

Ini adalah cadangan terbaharu kita, kita mahu ada inisiatif baharu di Labuan bagi menarik lebih ramai pemain industri beroperasi di Labuan ini...ini sebablah kita mahukan kemudahan asas di Labuan diselesaikan dengan segera," katanya.

Anwar menekankan fokus kepada penyelesaian kemudahan asas lebih realistik daripada memikirkan projek pembangunan yang menelan belanja "berbilion ringgit".

"Apabila saya dilantik menjadi Perdana Menteri saya mewarisi hutang negara RM1.5 trilion dan defisit, yang bermakna kekuatan kewangan negara lemah, hasil jauh kurang berbanding tanggungan," katanya.

Anwar berkata meskipun negara telah mengalami kemelesatan ekonomi, namun usaha untuk memperjuangkan nasib rakyat tetapi menjadi keutamaan negara.

Katanya amalan "sakau-menyakau" dalam pentadbiran negara harus diperangi oleh setiap pemimpin kerajaan dan rakyat harus turut sama dalam menbantu kerajaan membersihkan pentadbiran kerajaan daripada anasir "sakau-menyakau".

"Syukur Alhamdulillah, sudah setahun Kerajaan MADANI memerintah, belum ada satu pemimpinnya yang terlibat dalam skandal rasuah.

Rakan-rakan kita di Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan, UMNO-Barisan Nasional, mereka tahu pendirian saya, kalau ada kes (skandal rasuah) melibatkan mana-mana pemimpin, saya sebagai pemimpin kerajaan akan mengambil tindakan menyingkirkan mereka segera daripada kepimpinanan mereka," katanya.

Beliau berkata ada pihak-pihak tertentu tidak senang dengan pendirian beliau yang hanya memberi fokus kepada tata kelola dan isu rasuah.

"Jangan ambil ringan perkara-perkara ini...selagi isu tata kelola bebas rasuah ini tidak diselesaikan dengan sebaiknya, kewangan negara tidak akan stabil," katanya.

-- BERNAMA