Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata pihak kerajaan bersetuju supaya Jabatan Audit Negara melihat semula pelan audit setiap kementerian dan agensi kerajaan.

Jelasnya, perincian ini termasuk skop pengauditan, kekerapan audit dan pembentangan laporan audit kepada pengurusan tertinggi.

"Saya juga mencadangkan supaya fungsi dan peranan Unit Integriti di setiap kementerian dan agensi perlu dilihat semula dari segi keberkesanan dalam mencegah ketirisan dan penyelewengan," katanya di majlis pelancaran Konvensyen Integriti Nasional 2016 di ibu negara hari ini.

"Saya percaya prevention is better than cure. Jika anda, terutamanya pegawai kerajaan sendiri, melihat terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki, cadangkan kepada pihak pengurusan tertinggi.

"Sekiranya pihak pengurusan tertinggi bersikap acuh tidak acuh walaupun terdapat justifikasi kukuh untuk penambahbaikan, salurkan maklumat kepada saya," kata Ali Hamsa.

Dalam ucapannya, beliau turut berkongsi rasa kesal mengenai krisis imej dan kepercayaan yang kini dialami sektor perkhidmatan awam.

Tambahnya, pegawai kerajaan yang ditangkap melakukan pecah amanah tidak mewakili seluruh penjawat awam tetapi hanya sebahagian kecil sahaja.


Pada Oktober lalu, Ali Hamsa mencadangkan agar projek kerajaan yang melebihi RM500 juta turut melibatkan penyertaan Ketua Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jelasnya, ia bertujuan mengelakkan berlaku ketirisan dan risiko pecah amanah dikalangan penjawat awam.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memperkenan rancangan untuk memperkenalkan inisiatif ini yang akan meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek kerajaan.

"Ini bagi memastikan kos projek berpatutan, projek-projek tidak lewat dilaksanakan atau terbengkalai," katanya.

Beliau turut melancarkan Modul Integriti Agensi Penguatkuasaan yang akan dilaksanakan 21 agensi pengutkuasaan seluruh negara.

Modul tersebut akan menyelaraskan kaedah pelaksanaan insiatif kerajaan bagi memantapkan integriti.

Selain itu, kerajaan turut melaksanakan Dasar Pemisah atau Exit Policy yang diperkenalkan dibawah Rancangan Malaysia ke-11 bagi menyediakan mekanisma yang berkesan untuk menamatkan perkhidmatan pegawai berprestasi rendah, mempunyai masalah integriti dan gagal memajukan kerjaya.

Menurut Ali Hamsa, yang juga Pengerusi Institut Integriti Malaysia (Integriti) dan Razak School of Government, Integriti sedang menbangunkan satu mekanisme bagi mengenalpasti jurang yang dihadapi organisasi bagi mencapai standard etika tinggi yang dipanggil Integrity Assessment Tool (IAT).

Manakala, Malaysian Integrity Profile (MIP) pula adalah satu kaedah penilaian psikometrik untuk menilai profail penjawat awam. Selain itu, Dashboard Pemantauan boleh digunakan untuk memantau, mengukur dan menilai kemajuan inisiatif integriti yang dilaksanakan agensi berkaitan.