SHAH ALAM: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memberi penerangan terperinci kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung projek pembiayaan swasta.

Rafizi berkata, projek pembinaan infrastruktur yang dibiayai swasta di negara ini lazimnya tidak akan berdaya maju dan akan mengalami masalah kewangan dalam jangka masa panjang.

Katanya, keadaannya itu akhirnya akan memaksa kerajaan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

"Berdasarkan pengalaman saya, kerajaan negeri mahupun kerajaan Pusat perlu berhati-hati bukan sahaja dalam soal projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) tapi juga apa-apa projek infrastruktur lain yang mahu dibiayai swasta.

"Awal-awal dia (pihak swasta) kata nak dibiayai sendiri. Bila dia kata nak buat projek RM2 bilion, RM3 bilion, tapi dia tak ada pun duit RM2, RM3 bilion itu," katanya menerusi satu klip video yang dimuat naik di Twitternya pada malam Ahad.

Menerusi rakaman video berdurasi 5 minit 15 saat itu Rafizi yang kelihatan berada sepentas bersama Mohamad Sanusi dalam satu program menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkaitan projek KXP.

Pada 1 Julai lalu, Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan memaklumkan, hasil dapatan konsultan National Airports Strategic Plan (NASP) mendapati tiada keperluan untuk sebuah lapangan terbang baharu dilaksanakan di Kulim kerana fasiliti di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) masih mampu mengendalikan permintaan perkhidmatan kargo dan penumpang.

MOT berkata, cadangan pembinaan KXP sebaliknya boleh dipertimbangkan selepas LTAPP mencapai kapasiti maksimum 20 juta penumpang setahun (MPPA) yang diunjurkan pada 2042, selain menegaskan tiada sebarang cadangan penyertaan swasta mampu biaya kos projek KXP.

Mengulas lanjut, Rafizi menegaskan, kerana ketiadaan dana, pihak swasta akan mengambil surat kelulusan projek sama ada daripada kerajaan negeri atau kerajaan Pusat untuk membuat pinjaman bank.

"Di situlah masalahnya sebab duit yang mereka dapat adalah untuk kegunaan pembinaan projek dan dia tak peduli dah lepas 20, 30 tahun projek itu jadi apa kerana mereka dah dapat untung dari awal-awal.

"Takkanlah bila dah buat projek infrastruktur sebegini contohnya lapangan terbang dan pelabuhan besar-besar, lepas itu projek itu terbengkalai. Kita kerajaan pula takkan nak 'kelip-kelip' tengok saja, tak boleh," ujarnya.

Menurutnya, kebiasaanya pihak swasta akhirnya akan datang bertemu kerajaan dan memberitahu projek yang mereka laksanakan bermasalah dan memaksa kerajaan untuk campur tangan.

Justeru, tegas Rafizi, pihak yang mahu membiayai projek KXP perlu membuktikan bahawa projek itu mampan daripada segi kewangan supaya ia tidak menjadi projek gajah putih. - Sinar Harian