KLANG: Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memutuskan untuk membuka sebanyak 7,500 kuota pekerja asing bagi pengambilan subsektor perkhidmatan tukang gunting rambut, tekstil dan tukang emas.

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata pembukaan semula pengambilan pekerja asing bagi subsektor berkenaan tidak secara menyeluruh dan berlandaskan kepada keperluan sebenar.

Beliau berkata, keputusan Jemaah Menteri itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lepas, untuk membuka semula pengambilan pekerja asing bagi tiga subsektor perkhidmatan itu yang sebelum ini dibekukan sejak 2009.

"Tiga subsektor ini merupakan (pekerjaan) tradisi kaum India. Susulan peniaga tidak boleh bawa masuk pekerja asing mereka menghadapi masalah (kekurangan pekerja) lebih 14 tahun dan banyak antara mereka terpaksa menutup perniagaan atau telah sampai ke ambang tutup perniagaan sekiranya tidak dapat pekerja asing.

"Sebagai permulaan kita (Kementerian Sumber Manusia atau KSM) akan beri kelulusan kuota sebanyak 7,500 dan kita akan cuba selesai perniagaan yang benar-benar hadapi masalah serta dalam keadaan kritikal dahulu," katanya pada pemberita selepas perasmian Jelajah MADANI bersama KSM di sini hari ini.

Sivakumar berkata langkah berkenaan juga akan menghentikan kecenderungan majikan menggaji warga asing tanpa dokumen pekerjaan yang sah dan pihaknya sedia maklum bahawa kecenderungan itu berpotensi untuk berlakunya eksploitasi serta amalan buruh paksa.

Beliau berkata KSM bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperhalusi mekanisme bersesuaian bagi tujuan pelaksanaan proses berkenaan kerana kerajaan pada masa ini sudah menghentikan permohonan serta kelulusan kuota pekerja asing.

"Justeru, mekanisme yang akan dibangunkan menitikberatkan perkara-perkara iaitu permohonan tertakluk kepada perincian kuota yang ditetapkan mengikut tiga subsektor itu.

"KPDN selaku agensi kawal selia perlu menyelaras perincian kuota dengan pihak industri bagi tujuan permohonan pekerja asing berdasarkan mekanisme yang akan ditetapkan," katanya.

Menurut Sivakumar, permohonan pekerja asing akan mengikut prosedur sedia ada dari segi saringan majikan di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955 dan verifikasi untuk kelulusan kuota termasuk melalui proses temu duga bersama KPDN.

Isnin lepas, Anwar mengumumkan kerajaan meluluskan sebahagian permohonan pengambilan pekerja asing bagi tiga sektor berkenaan yang dibekukan sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau meletakkan syarat agar golongan belia tempatan diberikan latihan bagi mengisi keperluan tenaga kerja melibatkan tiga sektor berkenaan.

-- BERNAMA