Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bercadang membina Program Perumahan Rakyat (PPR) tidak melebihi 500 unit bagi setiap projek.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar menjelaskan langkah itu adalah berbeza dengan projek sebelum ini yang tidak menetapkan sebarang had unit untuk dilaksanakan.

Cadangan tersebut dalam usaha mengelak masalah kesesakan dan kepadatan penghuni di kawasan PPR.

"Walau begitu, jumlah unit yang dibina juga bergantung kepada keseluruhan keluasan tapak," katanya semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad di Dewan Rakyat.

Noraini mahu tahu apakah penambahbaikan yang telah dan akan dilaksanakan oleh kementerian di kawasan PPR dalam memberi kesejahteraan kepada masyarakat bandar di negara ini.

Ujarnya, kementerian tidak lagi membina rumah yang boleh membebankan penghuni seperti rumah pangsa lima tingkat dengan memberi fokus kepada rumah berbilang tingkat yang ada kemudahan lif atau jenis atas tanah atau landed.

"Saya pernah melakukan lawatan ke atas kawasan PPR jenis pangsa lima tingkat baru-baru ini. Saya melihat sendiri kesukaran penduduk terutamanya di tingkat atas yang terpaksa turun naik menggunakan tangga tanpa kemudahan lif," katanya lagi.

Dari aspek rekabentuk, jelasnya, terdapat penambahan keluasan lantai daripada 650 kaki persegi kepada 700 kaki persegi bagi unit biasa.

"Elemen kemasan lantai telah ditukar dari jenis lepaan simen kepada kemasan jubin bagi keseluruhan lantai rumah," tambahnya.

Selain penggunaan teknologi Industrialised Building System (IBS) bagi projek PPR, kementerian turut menyediakan kemudahan awam.

"Sebagai contoh peruntukan tempat letak kereta bagi rumah berbilang tingkat nisbah satu unit rumah kepada satu unit tempat letak kereta serta 20 peratus tempat letak kereta pelawat berbanding PPR terdahulu yang hanya memperuntukkan satu tempat letak kereta bagi kegunaan 4 unit rumah," kata beliau.