Kerajaan meminta semua penganjur tabung sumbangan berkaitan COVID-19 sama ada di peringkat kerajaan mahupun swasta supaya berdaftar dengan Kementerian Kewangan bagi mendapatkan pengecualian cukai.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pengeculian itu bagi memberi faedah kepada penyumbang atas keprihatinan mereka meringankan beban rakyat ketika berdepan pandemik COVID-19.

"Selain tabung rasmi diwujudkan kerajaan, ramai rakyat Malaysia prihatin kepada mereka yang memerlukan bantuan (termasuk petugas barisan hadapan) dengan memberi sumbangan berupa topeng muka dan berbagai lagi peralatan perlindungan diri (PPE).

"Oleh itu banyak tabung telah diwujudkan. Kerajaan ingin mengucapkan terima kasih kerana ramai terlibat mewujudkan tabung seperti ini.

"Bagaimanapun kerajaan mencadangkan supaya setiap tabung didaftarkan kerana Kementerian Kewangan telah umumkan penyumbang akan diberikan insentif untuk pengecualian cukai. Jadi kita harap daftar dengan Kementerian Kewangan supaya pengecualian cukai dapat mereka nikmati," katanya.

Sehingga kini, Tabung COVID-19 telah berjaya mengutip RM 22.66 juta daripada sumbangan sektor korporat dan orang ramai.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM 5.86 juta telah digunakan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi pembelian keperluan harian terutamanya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Manakala RM 9.06 juta diperuntukkan untuk disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) untuk meningkatkan kemampuan pengagihan.