awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Jurang ekonomi rakyat meluas jika isu gaji, pengangguran tidak diatasi - Khairil Nizam
AWC jalin kerjasama dengan TwinMatrix Technologies pertingkat inovasi digital
Serangan bersenjata di padang bola sepak Mexico, 11 maut
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

[KOLUMNIS] Tanda masyarakat ‘mandul’: Perogol disucikan, mangsa dibisukan

Khalis Khadir
Khalis Khadir
26/01/2026
21:30 MYT
[KOLUMNIS] Tanda masyarakat ‘mandul’: Perogol disucikan, mangsa dibisukan
Fenomena ini boleh digambarkan sebagai pemutihan imej pelaku, iaitu usaha membina semula persepsi awam dengan menonjolkan air mata, penyesalan, peranan sebagai bapa atau suami serta naratif ‘ujian hidup’ dan ‘takdir’. - Foto janaan AI
DALAM liputan kes jenayah seksual, media memikul tanggungjawab yang jauh lebih besar daripada sekadar melaporkan fakta perbicaraan.
Media turut membentuk cara masyarakat menilai salah dan benar, siapa yang patut diberi simpati dan siapa yang akhirnya dipinggirkan.
Namun mutakhir ini, timbul satu kecenderungan yang membimbangkan apabila individu yang telah disabitkan bersalah atas jenayah rogol, diangkat melalui naratif keinsafan, keagamaan dan penderitaan peribadi, manakala mangsa pula semakin tenggelam dan dilupakan.
Fenomena ini boleh digambarkan sebagai pemutihan imej pelaku, iaitu usaha membina semula persepsi awam dengan menonjolkan air mata, penyesalan, peranan sebagai bapa atau suami serta naratif ‘ujian hidup’ dan ‘takdir’.
Semua ini dilakukan tanpa meletakkan jenayah rogol itu sendiri sebagai pusat perbincangan.
Lebih berbahaya, ia menjadikan keinsafan pelaku seolah-olah lebih bernilai daripada trauma mangsa!
Apabila simpati tersalah sasaran
Kita melihat tajuk dan kapsyen yang memberi ruang besar kepada kesedihan keluarga pelaku, kesan hukuman terhadap masa depan tertuduh serta perjalanan ‘rohani’ selepas sabitan.
Namun soalan yang jarang ditanya secara jujur ialah, di manakah ruang yang sama untuk mangsa?
Di manakah kisah trauma jangka panjang? Di manakah penderitaan mental yang berlarutan bertahun-tahun? Di manakah suara mangsa yang terpaksa mengulang peristiwa paling menyakitkan dalam hidup mereka di hadapan sistem perundangan?
Kajian bertajuk Pembingkaian Media terhadap Kes Richard Huckle: Menyingkap Gambaran Media mengenai Keganasan Seksual di Malaysia menunjukkan, naratif pengalaman mangsa paling jarang diberi ruang berbanding naratif pelaku dan proses perundangan.
Ini menunjukkan cara media memilih elemen berita boleh mempengaruhi cara masyarakat memahami kejadian seksual dan secara tidak langsung memberi ruang kepada naratif yang tidak seimbang.
Keinsafan bukan penebus jenayah
Dalam kajian oleh Women’s Aid Organisation (WAO) Malaysia, masih wujud sikap dalam masyarakat yang memaafkan pelaku atau menyalahkan mangsa.
Sikap sebegini menjadi lebih kuat apabila media memberi tumpuan kepada naratif simpati terhadap pelaku selepas sabitan, sekali gus menyukarkan mangsa lain untuk tampil ke hadapan.
Mangsa melihat dan belajar
Bagi mangsa jenayah seksual yang masih berdiam diri, liputan sebegini memberi satu isyarat yang menyedihkan.
“Jika masyarakat lebih bersimpati kepada pelaku, siapa yang akan mempertahankan aku?”
Apabila mangsa melihat pelaku disucikan di ruang awam, mereka belajar bahawa kesakitan yang dialami mungkin tidak cukup penting untuk dipercayai.
Dan apabila mangsa memilih berdiam diri, pelaku menjadi lebih berani.
Media ada pilihan dan tanggungjawab
Jika alasan yang sering diberikan adalah ‘engagement’ dan ‘minat pembaca’, maka kreativiti tidak seharusnya datang dengan mengorbankan etika.
Media boleh memilih sudut yang lebih membina, antaranya seperti perjuangan mangsa mendapatkan keadilan, pengesahan pakar terhadap trauma dan kesan psikologi mangsa, ketabahan mangsa menghadapi proses perundangan, implikasi sosial jenayah seksual terhadap komuniti, peranan sistem sokongan dan reformasi yang diperlukan.
Naratif ini bukan sahaja mendidik, malah memberi kekuatan kepada mangsa lain yang sedang bergelut dalam diam.
Menetapkan garis yang jelas
Menginsankan manusia tidak bermaksud menginsankan jenayah.
Selepas sabitan mahkamah, keutamaan wacana awam seharusnya beralih kepada keadilan, pencegahan dan pemulihan mangsa, bukan pemutihan imej pelaku.
Media bukan sekadar mencelikkan masyarakat. Media ialah pembentuk norma, dan dalam isu jenayah seksual, norma yang salah boleh membawa kesan yang terlalu mahal untuk dibayar.
Seperti kebiasaan, penulis sering mengutarakan rangkap ini kerana ia falsafah yang boleh dipegang sehingga hujung nyawa.
Ingatlah, agama memandu akal, bukan memandulkan akal.
_____________________________________________________________________________________
* Khalis Khadir merupakan Wartawan Astro AWANI.
** Pandangan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Astro AWANI.
Topic Berkaitan
#kes rogol
#Jenayah Berat
#peranan media
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan