KUALA LUMPUR:Kerajaan dan pembangkang telah memainkan peranan masing-masing dalam memastikan Belanjawan 2021 menepati kemahuan rakyat.

Menurut Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, keputusan pengurusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meluaskan kelayakan fasiliti i-Sinar merupakan sesuatu yang dinantikan oleh rakyat.

Jelas beliau, usaha yang digerakkan oleh ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang itu merupakan usaha mengutarakan pandangan demi rakyat.

"Saya rasa ini juga kerana hubungan secara konstruktif antara pelbagai pihak yang membolehkan ia mendapat perhatian pihak KWSP.

"Kerajaan telah memainkan peranan mereka sebagai kerajaan yang berfungsi, pembangkang juga memainkan peranan mereka sebagai fungsi semak dan imbang, serta suara-suara dalam kerajaan dalam mengutarakan pandangan mereka.

"Sebenarnya ia adalah demi rakyat untuk memastikan mereka yang berada dalam kedudukan terdesak telah terpelihara kebajikan mereka dapat menggunakan caruman mereka.

"Dalam keadaan COVID-19 yang perlu diutamakan, bagaimana kita dapat merakyat kepimpinan dan bagaimana soal kebajikan dan keperluan rakyat menjadi teras induk fahaman politik," katanya kepada Astro AWANI.

Beliau juga berpendapat Belanjawan 2021 sangat penting ketika negara sedang berdepan dengan krisis nasional jadi ia perlu mendapat persetujuan semua pihak

Jelas beliau, Belanjawan 2021 bersifat inklusif yang membolehkan negara bergerak ke hadapan dan mementingkan kemahuan rakyat.

"Yang penting di sini ialah persetujuan bajet itu boleh membawa kita ke hadapan, kita boleh mengetepikan apa juga perbezaan yang wujud selama ini supaya diutamakan ialah rakyat.

"Perbahasan yang berlaku bukan untuk melihat kerajaan itu lemah atau pembangkang kuat tetapi bagaimana dalam keadaan krisis nasional, kerajaan itu sendiri bersikap inklusif untuk mengambil kira berbagai pandangan dalam agneda membesarkan bajet," katanya lagi.

Tambahnya, setiap perbahasan selepas Belanjawan 2021 dibentangkan bertujuan untuk memurnikannya demi kepentingan rakyat yang terjejas akibat COVID-19.