Kerajaan dan pihak berwajib digesa mencari jalan penyelesaian menyeluruh jangka panjang membabitkan masalah pertindihan bidang kuasa antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil di negara ini.

Setiausaha Pertubuhan Gabungan Persatuan-persatuan Dakwah Negeri Sembilan, Shamsul Azhar Yahya berkata, isu berkaitan hak-hak antara muslim dan bukan muslim perlu diberi keutamaan sewajarnya, agar ia mampu membawa kebaikan dan keadilan kepada semua pihak.

Menurutnya, semua pihak perlu memberikan peluang kepada S Deepa dan Izwan untuk bertikai menerusi proses perundangan mahkamah tanpa sebarang tekanan dan mengikut lunas keadilan.

Ia dengan harapan masalah berkenaan dapat diselesaikan dengan cara baik.

“Kami menyeru agar semua pihak yang berkenaan dan mempunyai kepentingan supaya jangan mengambil kesempatan dan menimbulkan keadaan tidak tenteram dan cuba mempengaruhi keputusan mahkamah sebarang bentu provokasi dan laporan yang berbau sentimen keagamaan mahupun bangsa hendaklah dihindarkan,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata kepada pemberita pada sidang media penerangan kes S Deepa lawan Izwan Abdullah di Hotel Seri Malaysia di sini.

Katanya, semua pihak perlu bertenang dan rasional dalam menghadapi isu-isu berkaitan kes itu yang juga melibatkan permasalahan hampir serupa dengan beberapa kes lain.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan media supaya berlaku adil dan saksama dalam apa jua bentuk laporan dan penerbitan, di mana persepsi positif dapat diberikan kepada kedua-dua pihak yang bertikai termasuk institusi berbidangkuasa mendengar perbicaraan kes itu.

Ia susulan terdapat beberapa laporan akhbar menggunakan perkataan ‘menculik’ terhadap Izwan yang didapati agak keras dan kurang bersesuaian digunakan.

Katanya, pendirian Deepa dan Izwan perlu dihormati berikutan kedua-duanya mempunyai perintah masing-masing yang diperoleh daripada setiap mahkamah (sivil dan syariah).

Turut hadir, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Negeri Sembilan, Hanif Hassan.

Terdahulu, mengikut kronologi, pada 26 November 2012, Izwan atau N Viran secara sukarela memeluk Islam di Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan.

Izwan turut mendaftarkan keislaman dua anaknya Nur Nabila dan Muhammad Nabil pada 4 April 2013 dan pada 15 Mei 2013, perkahwinan antara Izwan dan S Deepa telah dibubarkan di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan.

Pada 26 Ogos tahun lalu, Izwan turut memperolehi perintah Mahkamah Tinggi Syariah bahawa hak penjagaan sementara terhadap anak-anak diberikan kepadanya.