KUALA LUMPUR: Institut Masa Depan Malaysia (MASA) menggesa kerajaan untuk mempergiatkan lagi usaha dan inisiatif bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi wanita yang lebih inklusif.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azril Mohd Amin, pihaknya menyokong segala bentuk pelaksanaan dasar yang saksama dan strategik yang boleh memupuk dan meningkatkan penyertaan serta kepimpinan wanita dalam sektor swasta dan awam.

Katanya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan 'Wanita Dijulang, Negara Gemilang: Percepatkan Kemajuan' sebagai tema sambutan Hari Wanita Antarabangsa, menggariskan keperluan mendesak untuk menangani jurang ekonomi yang dihadapi kaum wanita.

"Selari dengan usaha kolektif kami, Malaysia telah menetapkan sasaran penting untuk menghapuskan segala bentuk ketidakadilan dalam pasaran buruh, yang bertujuan tidak lain tidak bukan untuk memajukan hasil ekonomi wanita.

"MASA ingin menekankan betapa pentingnya langkah-langkah proaktif dan berterusan dalam memanfaatkan potensi besar wanita agar dapat memacu kemakmuran negara, komuniti, keluarga dan isi rumah.

"Peranan dan sumbangan wanita amat diperlukan dalam menangani pelbagai cabaran bagi mengemudi pemulihan, reformasi dan transformasi ekonomi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Azril berkata, kajian mendedahkan, walaupun separuh daripada populasi dunia terdiri daripada wanita, kaum hawa hanya menyumbang 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar global.

Jelasnya, nilai kerja tanpa gaji wanita adalah USD10.9 trilion (RM51.13 trilion) pada ekonomi dunia dan ini jelas membuktikan pentingnya usaha-usaha untuk menjulang darjat mereka dalam pembinaan kapasiti dan keusahawanan.

Justeru, tambahnya, pemerkasaan wanita perlu merangkumi pelbagai aspek seperti pemerolehan pengetahuan, kesedaran, pembinaan kapasiti dan peningkatan penyertaan dalam proses membuat keputusan.

"MASA menyokong kesaksamaan dan pemerkasaan jantina serta mengakui pengetahuan dan kehebatan wanita dalam membuat keputusan yang amat penting bagi kemajuan masyarakat dan negara.

"Kami juga memperakui bahawa konsep pemerkasaan wanita melangkaui konsep feminisme Barat, yang dilihat mencabar dan mengubah norma, amalan dan undang-undang masyarakat yang mengekang kesejahteraan dan pilihan mereka," ujarnya. 

Hari Wanita Antarabangsa disambut pada 8 Mac setiap tahun bagi mengiktiraf pencapaian wanita dalam pelbagai bidang serta memperjuangkan hak golongan berkenaan.