PUTATAN: Kerajaan diminta mengambil tindakan segera mengatasi masalah banjir kilat di daerah ini yang turut menjejaskan beberapa sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Tombovo dan kampung berdekatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas Datuk Awang Ahmad Sah berkata kejadian banjir kilat di kawasan itu bukanlah perkara baharu dan sekolah terbabit sering berdepan masalah sama setiap kali hujan berterusan susulan sistem perparitan yang sering tersumbat.

"Kerajaan perlu mencari jalan jangka pendek seperti memastikan parit di belakang sekolah ini mesti sentiasa dikorek agar air (hujan) tidak cepat penuh dan melimpah masuk di kawasan sekolah," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Awang Ahmad yang juga Ketua Penerangan Parti Warisan itu berkata demikian bagi mengulas gambar dan video sekolah tersebut dinaiki air menimbulkan kesukaran buat guru serta pelajar susulan banjir kilat yang tular di media sosial.

Mengulas lanjut, Awang Ahmad berkata beliau difahamkan keadaan banjir kilat di kawasan itu bakal berakhir apabila projek Tebatan Banjir Fasa 3 Putatan, bernilai lebih RM400 juta, siap dibina.

Beliau juga tidak menafikan banjir kilat berlaku di beberapa kampung sekitar daerah itu berpunca daripada kerja-kerja pembinaan projek skim pembentungan yang sedang dijalankan sejak beberapa bulan lepas kerana telah menghalang aliran air ke Sungai Lembising dan seterusnya ke laut.

Menurutnya, lebih 5,000 penduduk kampung terlibat selain pengguna jalan raya turut mengadu tentang keadaan jalan raya rosak sejak projek berkenaan dijalankan.

-- BERNAMA