Kerajaan disaran memberi insentif kepada orang ramai yang memasang jaring nyamuk di kediaman atau premis milik mereka bagi membendung nyamuk Aedes yang membawa demam denggi.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembelajaran Penyakit Berjangkit Tropikal (TIDREC) Universiti Malaya Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata, insentif tersebut akan menggalakkan orang ramai memasang jaring berkenaan yang dilihat lebih efektif dalam membendung nyamuk berbanding kaedah semburan asap.

"Kaedah semburan hanya berkesan untuk tempoh ketika semburan itu dilakukan dan 30 minit hingga satu jam kemudian nyamuk akan kembali semula.

"Tetapi jika jaring nyamuk dipasang, ia akan menghalang kemasukan nyamuk ke dalam kediaman sekali gus membendung penularan Aedes dan demam denggi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya, kos pemasangan jaring tersebut agak tinggi namun jika sesuatu insentif seperti pemotongan cukai diperkenalkan ia akan menarik orang ramai untuk melaksanakannya.

Bagaimanapun, katanya, kaedah semburan asap tetap perlu dilakukan secara berkala di sesuatu kawasan kerana ia membantu mengehadkan aktiviti nyamuk untuk tempoh tertentu.

Katanya, kaedah yang paling efektif dalam membendung penularan denggi adalah dengan memastikan tiada individu digigit nyamuk dan ia boleh berlaku jika orang ramai mengubah cara hidup dan sentiasa berwaspada dengan kehadiran nyamuk.

"Nyamuk sangat aktif pada waktu pagi dan senja, ini adalah waktu makan untuk nyamuk. Oleh itu, kita perlu mengelak berada di luar pada waktu itu atau memakai pakaian yang sesuai jika perlu berada di luar pada waktu itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, peningkatan kes demam denggi terutama di kawasan bandar berlaku disebabkan peningkatan jumlah penduduk dan ia akan terus meningkat jika tiada kaedah preventif berkesan dilakukan.

Sazaly berkata Universiti Malaya telah berjaya menghasilkan lingkaran nyamuk yang mampu membunuh nyamuk dengan cara yang berkesan.

Katanya, lingkaran nyamuk itu yang diberi nama 'Spokojan' mengandungi gabungan bahan organik yang bertindak menarik perhatian nyamuk dan membunuhnya berbanding lingkaran nyamuk biasa di pasaran yang bersifat menghalau nyamuk.

"Kita telah menjalankan kajian di sebuah perkampungan orang Asli di Jelebu, Negeri Sembilan di mana kita membekalkan sebanyak 50 buah rumah di kampung itu denga Spokojan yang boleh digunakan untuk tempoh sebulan.

"Hasilnya, selepas sebulan nyamuk di kampung tersebut telah berkurangan walaupun pada waktu senja sedangkan kampung itu terletak di kawasan hutan," katanya.

Sazaly berkata pada masa ini pihak universiti sedang mempatenkan produk itu dan berusaha mendapatkan dana dari kerajaan untuk mengkomersialkannya.

Untuk rekod, bagi tempoh Januari hingga 28 Jun lalu, sebanyak 44,518 kes denggi dilaporkan iaitu meningkat 246 peratus atau 31,660 kes berbanding tempoh yang sama tahun 2013 iaitu 12,858 kes.

Dalam tempoh itu juga, sebanyak 85 kematian dilaporkan di seluruh negara berbanding hanya 27 kematian bagi tempoh yang sama 2013, peningkatan sebanyak 215 peratus atau 58 kematian.

Setakat ini, belum ada penawar atau vaksin ditemui yang mampu menyekat peningkatan kes demam denggi dan jumlah kematian akibat jangkitan Aedes.