KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran supaya menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji kebaikan serta memberi kelulusan kepada industri ganja jenis 'hemp' dan marijuana perubatan bagi memastikan industri tersebut dikawal selia dengan baik.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata data dan sains perlu dilihat bagi menilai kebaikan industri tersebut, jika dibandingkan dengan industri rokok dan arak.

Justeru, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, sudah tiba masa bagi Malaysia melaksanakan usaha itu memandangkan industri tersebut boleh membantu sebagai kaedah rawatan alternatif termasuk kepada masalah kesihatan mental.

"Saya harap kerajaan boleh membincangkan perkara ini dan lihat data dan sains. Adakan satu jawatankuasa khas yang diwakili oleh banyak kementerian seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk pastikan agar ia dapat dikawal selia, dan Kementerian Kesihatan (KKM) memastikan data dan sains adalah jelas," katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini.


Syed Saddiq harap kerajaan bincang kelulusan industri berkaitan ganja

Jelas Syed Saddiq lagi, ketika ini lebih 40 negara telah memberi kelulusan kepada industri tersebut, termasuk di Thailand.

Mengikut nilai pasaran pula, industri 'hemp' menyumbang sebanyak RM60 bilion, dan dalam tempoh empat tahun ia dianggarkan mencecah RM400 bilion.

"Kita tidak mahu lagi Malaysia ke belakang dan ketinggalan. Jangan kita ketepikan perbincangan berkenaan isu ini hanya kerana ia sensitif walhal kajian yang dibentangkan menunjukkan sebaliknya (positif).

"Mengikut data dan sains, industri arak dan rokok jauh lebih berbahaya dari industri hemp. Tapi kita tidak ada iltizam politik untuk mulakan perbincangan isu ini dengan fakta," katanya.