KUALA LUMPUR:Merapatkan jurang ekonomi antara kaum masih menjadi antara cabaran besar yang dihadapi kerajaan, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, justeru Wawasan Kemakmuran Bersama mendukung inisiatif untuk merapatkan jurang ekonomi Bumiputera agar mereka dapat dibantu untuk lebih maju dalam semua bidang.

"Antara yang kita sediakan dalam belanjawan (Belanjawan 2021) ialah penekanan terhadap latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)... kita sediakan peruntukan yang besar.

"Kita juga sediakan beberapa insentif tertentu untuk kita bantu memajukan Bumiputera. Kita tengok di mana sektor atau bidang yang Bumiputera masih ketinggalan untuk kita bantu.

"Sektor pembuatan contohnya, kita beri tumpuan... beri mereka latihan supaya boleh galakkan lagi pembangunan usahawan baharu yang boleh kita ketengahkan," katanya dalam program Agenda AWANI Khas Bersama Perdana Menteri, malam ini.

BACA: Majlis Pekerjaan tangani isu pengangguran, wujud peluang pekerjaan baharu - Muhyiddin

BACA: Pembangkang akan dipelawa bersama kerajaan dalam buat keputusan - Muhyiddin


Tambah beliau, langkah diambil kerajaan itu bukan bermakna mengetepikan kaum lain, tetapi ia perlu dilakukan demi menyeimbangkan ekonomi kaum.

"Tak bermakna tumpuan hanya diberi kepada Bumiputera sahaja tetapi kalau kepincangan ekonomi itu telah berlaku... seperti yang pernah berlaku dahulu, ini tidak akan membawa kebaikan.

"Salah satu dasar yang nak saya tekankan dalam kerajaan saya ialah membantu usahawan Bumiputera maju dalam dalam semua bidang.

"Apa sahaja bentuk bantuan yang kita sediakan dalam belanjawan ini (Belanjawan 2021), kita akan laksanakan," katanya.