KUCHING: Kerajaan Persekutuan terus fokus untuk menangani isu miskin tegar di negara ini, termasuk di Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, ini dilakukan menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM), yang menetapkan sifar miskin tegar pada penghujung 2025.

"Program ini akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, dengan fasa pertamanya di Bumi Kenyalang melibatkan empat lokaliti iaitu Gedong, Kampung Seberang Sebuyau, Kampung Spaoh dan Pakan.

"Selain BMTKM, seramai 867,967 keluarga Malaysia di Bumi Kenyalang juga telah menerima manfaat menerusi inisiatif Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM745 juta.

"Ini membuktikan kecaknaan Kerajaan terhadap Keluarga Malaysia di negeri ini," katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Peringkat Negeri Sarawak di Dataran Perayaan di sini pada Ahad.

Turut hadir Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadilah Yusof.

Dalam ucapannya juga, Ismail memberi jaminan pembangunan negeri Sarawak sentiasa diutamakan dan ini terbukti dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM4.55 bilion yang disediakan Kerajaan Persekutuan di bawah Rolling Plan Kedua tahun 2022, RMKe-12.

"Bagi menjamin keselesaan dan kemudahan generasi masa hadapan, peruntukan sebanyak RM5.77 bilion telah disediakan di bawah RMKe-12 bagi membangunkan dan menaik taraf sekolah serta institusi pendidikan di Sarawak.

Daripada 409 projek pembangunan baharu dan sambungan katanya, sebanyak 111 projek kini siap sepenuhnya, dengan 109 projek berada di peringkat pelaksanaan atau pembinaan dan 189 buah projek berstatus prabina.

"Peruntukan sebanyak RM2.16 bilion juga turut disediakan bagi menampung 361 projek naik taraf dan membangunkan semula sekolah yang mempunyai bangunan daif.

"Sebanyak 203 projek telah siap, 68 projek di peringkat pembinaan manakala bakinya di peringkat prabina.

Bagi sektor kesihatan katanya lagi, sebanyak enam projek hospital dan klinik kini sedang dalam pelaksanaan di negeri ini.

"Sehingga kini Hospital Sri Aman telah pun siap, manakala lima buah projek lagi yang melibatkan kos sebanyak RM695.5 juta di Miri, Mukah, Kuching dan Serian, dijangka siap tahun depan.

Jelasnya lagi, di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pula, sebanyak RM13.4 bilion diperuntukkan untuk pembangunan prasarana, bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan keluarga Malaysia di Sarawak.

"Penyediaan kemudahan jalur lebar kepada rakyat negeri ini melalui  Program Jalinan Digital Negara (atau JENDELA) pula melibatkan peruntukan sebanyak RM4.09 bilion di bawah RMKe-12 untuk memastikan capaian jalur lebar secara menyeluruh di Sarawak menjelang 2030.

"Kerajaan berharap selepas ini tiada lagi Keluarga Malaysia yang terpaksa memanjat pokok atau berkhemah di atas bukit semata-mata mencari liputan internet," jelasnya.

Ismail Sabri menambah, bagi menyelesaikan masalah banjir di negara ini,  peruntukan sebanyak RM15 bilion telah disediakan bermula 2023 hingga 2030 untuk dilaksanakan di bawah RMKe-12.

"Ini termasuk projek tebatan banjir di Sarawak iaitu Rancangan Tebatan Banjir Sibu (Fasa 3) di Lembangan Rajang.

Kerajaan katanya, turut menyedari perbezaan harga barangan yang ketara antara bandar dan pedalaman di enam buah negeri terutama di Sarawak.

"Untuk itu kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM200 juta pada tahun ini bagi melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu melalui Community Drumming atau lebih dikenali sebagai Program Penyeragaman Harga.

"Ini membolehkan penduduk di kawasan pedalaman atau luar bandar menikmati tujuh harga barangan
keperluan asas pada harga yang sama di bandar.

"Barangan tersebut ialah gula putih, tepung gandum kegunaan am/bukan kegunaan am, minyak masak sawit, beras putih, gas petroleum cecair (LPG), petrol RON95 dan diesel.

Daripada RM200 juta itu katanya, sebanyak RM125 juta ataupun lebih 62 peratus adalah khusus bagi melaksanakan program ini di Bumi Kenyalang, yang memberi manfaat kepada 500,000 penduduk negeri Sarawak.

"Ia melibatkan 112 zon merangkumi 538 kawasan pengedaran," tambahnya lagi.

JAKM yang berakhir pada hari ini berlangsung sejak Jumaat lalu.