Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa) menyarankan kerajaan agar bersikap telus dan jujur dalam melaksanakan siasatan mengenai syarikat pelaburan strategik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali turut bertegas pentadbiran perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perlu menyembunyikan kebenaran dalam perkara berhubung siasatan 1MDB.

"Pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak juga perlu bersikap telus dan jujur dalam melaksanakan siasatan mengenai. Jangan sembunyikan kebenaran dan jangan berdolak-dalik,"

Beliau menambah, siasatan perlu dipercepatkan bagi mengelak sebarang spekulasi.

"Pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak perlu mempercepatkan segala siasatan mengenai 1MDB yang kini dilaksanakan oleh PDRM (Polis DiRaja Malaysia) dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), supaya rakyat Malaysia tidak terus dibelenggu oleh berbagai tanda tanya mengenai 1MDB," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perkasa di Wangsa Maju, di sini hari ini.

Datuk Ibrahim pada masa sama meminta kerajaan untuk mendapatkan penjelasan beberapa perkara daripada Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) susulan saman sivil ke atas beberapa individu tertentu.

"Pertama adalah mengenai identiti seorang individu yang disebut dalam dokumen saman ini sebagai 'Malaysian Official 1'. Penjelasan ini diperlukan kerana menurut dokumen berkenaan, individu yang dikenali sebagai Malaysian Official 1 adalah seorang pegawai tinggi dalam Kerajaan Malaysia yang juga memegang jawatan berautoriti dalam 1MDB.

"Kedua, adalah kaitan 'Malaysian Official 1' ini dengan Riza Shahriz Abdul Aziz seorang rakyat Malaysia yang namanya turut disebut berulang-kali dalam dokumen saman berkenaan. Penjelasan ini juga perlu kerana nama 'Malaysian Official 1' ini disebut dalam dokumen tersebut sebagai saudara kepada Riza," tambahnya.

Justeru katanya, perkara tersebut bukan hanya menjadi tanda tanya Perkasa, malah sebilangan besar rakyat Malaysia yang kini mencetuskan persepsi negatif rakyat.

"Jadi jangan perlekehkan mana-mana golongan rakyat yang kini berusaha mencari kebenaran mengenai 1MDB, sebagai pihak yang bertindak untuk meruntuhkan amalan demokrasi di Malaysia," tegas Datuk Ibrahim.

Pada majlis itu turut diadakan sesi taklimat dan penerangan khas berkaitan Rang Undang-undang Pindaan Akta 355 kepada Ahli Dewan Tertinggi dan Exco Sayap Perkasa yang disampaikan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.