Sejak 18 Mei 2018, sebanyak 18 ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu telah dilantik untuk syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MKD serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Daripada 18 lantikan itu, beliau berkata, gaji untuk lima CEO diturunkan, empat dinaikkan, manakala sembilan lagi dikekalkan.

“Jumlah keseluruhan gaji 18 orang CEO baharu adalah lebih rendah berbanding jumlah gaji CEO terdahulu, iaitu sebanyak RM87,050 sebulan atau RM1.04 juta setahun,” katanya sewaktu sesi pertanyaan lisan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Guan Eng berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS - Kuala Nerus) yang ingin mengetahui senarai lantikan CEO baharu, serta perbandingan gaji mereka dengan CEO terdahulu.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, tiada ahli politik dilantik sebagai CEO MKD atau GLIC di bawah kawalan Kementerian Kewangan.

“Tambahan lagi, tiada lantikan politik telah dibuat ke dalam Lembaga Pengarah syarikat tersebut kecuali lantikan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi selaku Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd.

“Walau bagaimanapun, Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi tidak menerima sebarang elaun tahunan dan elaun mesyuarat lembaga pengarah dalam Khazanah Nasional,” katanya lagi.