Kerajaan pada ketika ini sedang menjalankan kajian dalam melaksanakan silibus Rukun Negara bercirikan sivik dan tatanegara dalam sistem pendidikan negara.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohd Sadique berkata, dalam merealisasikan hasrat itu, pihaknya ketika ini sedang berbincang bersama dua kementerian berkaitan iaitu Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Pihak kementerian bersama KPT dan KPM sedang berbincang dalam usaha meletakkan Pendidikan Rukun Negara dalam sistem pendidikan semula.

“Kalau sebelum ini kita ada (silibus) Pendidikan Sivik dan masa saya dahulu ada Pendidikan Tatanegara, kita nak masukkan balik (silibus seperti ini).

"Ia supaya dapat pertimbangan terutama daripada KPM, untuk kita serapkan kembali Pendidikan Rukun Negara ke dalam sistem pendidikan melalui sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Ia termasuk aktiviti Sekretariat Rukun Negara bersama dengan pihak KPT.

"Apa pun, masyarakat kita Malaysia perlu dididik untuk memahami dan menghormati satu sama lain termasuk undang-undang yang ada,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) yang bertanya adakah Kementerian Perpaduan Negara sedang pertimbang semula mewujudkan kembali silibus Pendidikan Sivik yang ditangguh pada 2013.

Mengulas lanjut, Halimah berkata pihaknya juga akan melancarkan Jerayawara (roadshow) Berfikir Perpaduan Bersama Rakyat bermula 1 Ogos depan diikuti pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan yang dijadual dilancarkan dalam tahun ini.

Ujarnya, menerusi inisiatif itu, ia diharap dapat mengeratkan lagi perpaduan pelbagai kaum dan agama di negara ini.