KUALA LUMPUR: Penetapan harga siling ayam yang baharu dan kadar subsidi kepada penternak akan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, esok.

Harga siling runcit ayam dan subsidi yang ditetapkan kerajaan sebelum ini akan berakhir pada 31 Ogos ini.

Justeru, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, harga baharu itu akan diumumkan selewat-lewatnya pada minggu depan.

"Untuk memastikan negara kita sentiasa mempunyai bekalan cukup, kira-kira 69 juta ekor ayam sebulan, kita mengekalkan dasar membenarkan pengimportan ayam bulat, dasar itu masih dikekalkan, sementara dasar tidak membenarkan eksport buat masa ini juga akan hanya diputuskan oleh mesyuarat Jemaah Menteri.

"Jadi perkara-perkara ini akan dibincangkan esok dengan jawatankuasa, akan memaklumkan secara terperinci status dan kedudukan bekalan dan juga permintaan, serta kita telah pun selesai mendapatkan maklumat asas tentang bagaimana sektor pengeksportan ayam itu berlaku pada masa ini.

"Kira-kira RM888 juta bayaran dibuat kepada pengusaha dan mengambil kira semua perkara tersebut, pasukan khas itu akan membuat perakuan kepada mesyuarat Jemaah Menteri esok berhubung dasar seterusnya, iaitu berkaitan harga maksimum ayam dan dasar melibatkan subsidi selepas 31 Ogos," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, di sini pada Khamis.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, kerajaan akan terus memberi keutamaan dalam memastikan bekalan ayam bagi pengguna domestik adalah mencukupi.

"Cuma yang perlu saya sampaikan kepada masyarakat, kita mengekalkan dasar di mana harga ayam perlu terus dikawal dan juga keutamaan ke tahap kecukupan bekalan domestik kekal menjadi satu keutamaan," jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata pasukan khas itu akan mendapatkan maklum balas Lembaga Minyak Sawit Malaysia, yang akan menentukan harga purata minyak masak bagi Ogos, dan daripada maklumat tersebut, mereka akan melihat kepada penetapan harga maksimum minyak masak seperti diumumkan sebelum ini.

BACA: Kerajaan terus utamakan bekalan ayam untuk pengguna domestik mencukupi - Annuar

Dalam perkembangan berasingan, Annuar memberitahu, lima kementerian peneraju untuk Program Jualan Murah Keluarga Malaysia perlu melaporkan terus kepada Pasukan Khas Jihas Tangani Jihad pada setiap minggu.

Katanya, ia adalah bagi memastikan matlamat asas untuk melaksanakan program itu di 639 Dewan Undangan Negeri di seluruh negara dapat dilaksanakan sebaiknya.

Selain itu, beliau turut meminta kesemua lima kementerian menerus agensi masing-maisng untuk mempertingkatkan jumlah penglibatan memandangkan minggu pertama pelaksanaan program tersebut hanya melibatkan 127 premis.

Sementara itu, Annuar menambah, satu lagi rangkaian jualan murah menggunakan platform e-dagang akan dilancarkan pada September.

Katanya, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sedang menyiapkan kerangka terakhir untuk dibentangkan kepada pasukan tersebut minggu depan.