KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyalurkan bantuan berjumlah RM300,000 kepada jemaah haji di negeri itu tahun ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, bantuan disalurkan menerusi Tabung Haji untuk membantu melancarkan urusan jemaah bagi Musim Haji 1445H/2024M tersebut.

Menurut beliau, sejumlah 2,360 jemaah haji meliputi 959 lelaki dan 1,401 wanita berusia 16 tahun hingga 90 tahun dari Kelantan terpilih untuk melaksanakan ibadah itu daripada keseluruhan 31,600 di seluruh negara.

“Kerajaan negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM300,000 kepada jemaah haji pada setiap tahun termasuk tahun ini.

“Paling utama diharapkan para jemaah menggunakan peluang yang dikurniakan oleh Allah untuk memperbanyakkan amal ibadat,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada Jemaah Haji ke Tanah Suci di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Panji, di sini.

Sementara itu, pada majlis berkenaan kumpulan pertama dan kedua jemaah haji Kelantan berlepas melalui dua penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, ke Lapangan Terbang Antabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.55 malam dan 11.55 malam, Rabu.

Mereka seramai 281 berkenaan kemudian akan menaiki penerbangan dari KLIA ke Madinah pada jam jam 12.05 tengah malam dan jam 4 pagi, Khamis. - Sinar Harian