[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

Kerajaan komited banteras penjualan vape mengandungi dadah - Fahmi

Astro Awani 18/06/2025 | 09:46 MYT
Fahmi berkata langkah ini menunjukkan keprihatinan kerajaan menangani kegiatan ini yang telah berleluasa dalam kalangan masyarakat. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan berusaha untuk membanteras penjualan bahan terlarang di media sosial, termasuk peranti vape yang mengandungi dadah, kata Datuk Fahmi Fadzil.

Ringkasan AI
  • Kerajaan sedang berusaha membanteras penjualan bahan terlarang secara dalam talian, termasuk peranti vape yang mengandungi dadah, susulan kebimbangan terhadap penyalahgunaan rokok elektronik.
  • Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil akan mengadakan mesyuarat bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Menteri Kesihatan untuk merangka strategi pelaksanaan dan penguatkuasaan terhadap produk larangan.
  • Hasil perbincangan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan disusuli tindakan penguatkuasaan, dengan MCMC telah diarahkan mengambil tindakan segera terhadap penjualan vape mengandungi dadah sintetik secara dalam talian.

Fahmi selaku Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perkara itu dibangkitkan oleh Menteri Perdangan Dalan Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali pada mesyuarat Kabinet hari ini.
"Jemaah Menteri telah dimaklumkan oleh menteri mengenai jualan produk dalam talian termasuk barangan yang boleh diklasifikasikan sebagai dadah, juga yang disalahgunakan dengan peranti vape," katanya.
Fahmi berkata, beliau juga akan bermesyuarat bersama Armizan dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzukelfy Ahmad untuk membincangkan strategi perlaksanaan terhadap produk-produk yang mengandungi bahan terlarang.
"Mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan perlaksanan terhadap produk larangan termasuk cecair yg dipercayai mengandungi dadah yang dilarang melalui aplikasi, platform media sosial atau secara dalam talian," katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya pada Rabu.
Fahmi berkata langkah ini menunjukkan keprihatinan kerajaan menangani kegiatan ini yang telah berleluasa dalam kalangan masyarakat.
Tambah beliau hasil perbincangan daripada mesyuarat akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan disusuli dengan tindakan penguatkuasaan bagi mengawal kegiatan tersebut.
Pada 5 Jun, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan untuk mengambil tindakan segera terhadap penjualan produk vape mengandungi dadah sintetik secara dalam talian.
Arahan itu dikeluarkan susulan kebimbangan serius terhadap penyalahgunaan rokok elektronik yang kini turut melibatkan bahan terlarang.
#Armizan Mohd Ali #Fahmi Fadzil #vape #Dadah