Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa kerajaan komited dalam usaha membela rakyat dengan menjadikan kebajikan rakyat sebagai agenda penting kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata usaha berterusan akan dilaksana bagi memastikan tiada kelompok rakyat tercicir daripada menikmati kehidupan yang baik di negara ini, yang disifatkan sebagai unik kerana terdiri daripada pelbagai kaum dan dijalini sikap saling menghormati.

"Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan sentiasa memperjuangkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat, usaha ke arah membasmi kemiskinan tegar serta meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat akan dipergiat," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada Majlis Perkongsian dan Pelancaran Pelan Tindakan Program Pembangunan Komuniti Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar (DHRRA) Malaysia di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Kedua P. Kamalanathan.