KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk mengembangkan ekonomi digital, termasuk bertindak proaktif dan memenuhi keperluan pelabur dengan mewujudkan jalinan strategik antara inisiatif kerajaan dan pelaburan teknologi.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata sejajar kepentingan ekonomi digital dalam melonjakkan ekonomi negara, langkah itu juga seiring dengan kedudukan Malaysia yang mempunyai gabungan faktor unik dan menjadi hab pelaburan utama di Asia Tenggara.

Malah, Malaysia juga bersedia sebagai peneraju digital di Asean, didorong oleh tenaga kerja muda dan mahir, ekosistem teknologi yang dinamik serta persekitaran kawal selia serba kondusif bagi pertumbuhan perniagaan.

"Bersandarkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar yang mampan dan lokasi strategik sebagai nadi Asean, Malaysia menawarkan akses pasaran pengguna celik teknologi yang merangkumi lebih 400 juta pengguna digital di rantau ini.

"Dalam landskap digital masa kini yang pesat berkembang, lapangan global itu telah berubah dan menawarkan peluang baharu bagi tujuan inovasi serta pelaburan dalam teknologi baharu selain pembangunan penyelesaian bagi pasaran dengan pertumbuhan tinggi.

"Sudah semestinya Malaysia berada dalam kedudukan strategik untuk memanfaatkan peluang-peluang ini menerusi ekosistem, pekerja mahir dan persekitaran kawal selia yang menyokong," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada acara Tech Nexus 2024 di sini, hari ini.

Gobind turut berkongsi sasaran kerajaan untuk menjadikan Kuala Lumpur antara 20 bandar raya global yang menawarkan ekosistem terbaik untuk perniagaan pemula niaga menerusi KL20, pelan tindakan sektor yang bakal dilancarkan tahun ini.

Malah, seiring dengan hasrat kerajaan MADANI, Kementerian Digital berhasrat memupuk ekosistem teknologi yang membolehkan kalangan penggiat berinovasi dan memacu penyelesaian transformatif untuk masyarakat.

Selain itu, beliau turut menekankan tiga inisiatif di bawah bidang kuasa kementerian untuk pelabur seperti kejelasan kawal selia melalui Rang Undang-Undang Jaminan yang membolehkan syarikat layak mendapat insentif, hak dan keistimewaan daripada kerajaan di bawah Malaysia Digital.

"Usaha lain adalah program visa khas seperti Pas Pekerja Berpengetahuan Asing dan Program DE Rantau (bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab pilihan nomad digital) dan Institusi Teknologi Digital Premier yang mewujudkan saluran bakat mahir dengan menyatukan penggiat utama dan institusi pengajian tinggi," katanya.

Mengulas acara Tech Nexus yang dianjurkan oleh Endeavor Malaysia, Gobind percaya sesi perbincangan dalam kalangan ahli panel dan teknokrat, mampu menghasilkan pandangan produktif mengenai inovasi baharu, cabaran serta peluang dalam bidang teknologi yang lebih mendalam.

Aspek itu juga, katanya, berkait rapat dengan dasar kerajaan serta persekitaran kawal selia selain membabitkan masa depan digital negara.

Acara Tech Nexus selama sehari itu bertujuan memupuk hubungan dan penerimagunaan inovasi dalam kalangan pengasas serta penggiat utama industri terbabit.

Platform itu turut diperluas kepada 42Geeks, organisasi berprestij yang menghimpunkan lebih 50 teknokrat dan pengasas terkemuka dari Amerika Syarikat, Filipina, Arab Saudi, Brazil, Jepun dan Singapura.

-- BERNAMA