Kerajaan komited dalam usaha ke arah sifar kematian berkaitan AIDS, termasuk memperluaskan lagi aktiviti saringan untuk mengesan dan memberi rawatan awal bagi kes HIV.

Menteri Kesihatan Datuk Dr S. Subramaniam berkata, antara langkah yang diambil kerajaan ialah usaha menangani transmisi vertikal, iaitu melaksanakan program saringan HIV dan rawatan ARV terhadap golongan ibu mengandung serta rawatan profilaksis dengan ARV kepada bayi baru lahir.

Selain menangani HIV, rawatan profilaksis turut berkesan bagi mencegah jangkitan sampingan lain seperti tuberkulosis, pneumocystis pneumonia dan lain-lain lagi, katanya.

"Sejak program tersebut dilaksanakan, kadar ibu mengandung yang dikesan menghidap HIV adalah amat rendah iaitu 0.02 peratus ke 0.07 peratus manakala bayi yang dikesan dijangkiti HIV melalui transmisi vertikal adalah kurang dari dua peratus.

"Dengan rawatan ini, kita dapat lihat penurunan kematian sejak lima tahun kebelakangan ini dan dijangka jumlah kematian akan terus berkurangan dengan perluasan kemudah-capaian untuk rawatan," kata beliau dalam perutusan khas sempena Hari Aids Sedunia 2013 hari ini.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam berkata, kerajaan telah membuat sasaran untuk mengurangkan kejadian kes-kes baharu HIV pada kadar 11 bagi setiap 100,000 penduduk menjelang tahun 2015.

Melalui langkah awal yang telah kementerian jalankan sebelum ini, bilangan kes baharu HIV yang dikesan sejak 2003 telah mula menurun kepada 6,756 kes dan penurunan ini berlaku secara relatif.

"Pada tahun 2012, sebanyak 3,438 kes baharu HIV dikesan dengan kadar 11.7 bagi setiap 100,000 penduduk manakala bagi sembilan bulan pertama tahun ini, sebanyak 2,564 kes baharu dilaporkan.

"Jika dibuat unjuran, bilangan kes HIV tahun ini adalah sebanyak 3,419 kes atau kadar 11.5 bagi setiap 100,000 dan berkemungkinan besar sasaran bagi tahun 2015 dapat dicapai lebih awal," katanya.

Bagi menjayakan agenda tersebut, Dr Subramaniam menyeru semua pihak dapat berganding bahu mencegah jangkitan HIV dan menggalakkan anggota masyarakat untuk mengetahui status HIV masing-masing serta memanfaatkan rawatan yang disediakan.