Kerajaan lulus kewarganegaraan 7 pemain warisan ikut jalur naturalisasi - Saifuddin Nasution

SAIFUDDIN NASUTION: Isu ini berbangkit kerana tindakan yang diambil oleh FIFA ke atas pemain bola sepak Harimau Malaya. - Gambar fail/BERNAMA
SHAH ALAM: [DIKEMAS KINI] Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan permohonan tujuh pemain daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan kewarganegaraan melalui jalur naturalisasi.
Ringkasan AI
- KDN meluluskan permohonan tujuh pemain FAM untuk mendapatkan kewarganegaraan melalui naturalisasi mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan, dengan syarat seperti tempoh mastautin, kelakuan baik dan penguasaan bahasa Melayu dipenuhi.
- Namun, FIFA mendapati terdapat pemalsuan dokumen asal melibatkan tujuh pemain warisan Malaysia, menyebabkan FAM didenda RM1.8 juta dan pemain terbabit digantung 12 bulan serta didenda RM11,000 setiap seorang.
- Hukuman FIFA itu boleh menjejaskan kempen kelayakan Piala Asia 2027 Malaysia, termasuk kemungkinan keputusan perlawanan dibatalkan jika rayuan FAM gagal.
"Isu ini berbangkit kerana tindakan yang diambil oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke atas pemain bola sepak Harimau Malaya.
"Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan kerajaan mempertimbang dan memproses keputusan tentang warganegara.
"Ada tiga rukun digunakan untuk membuat keputusan ini iaitu pemohon itu sendiri mesti memohon dan tak boleh melalui ejen. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tak pernah guna khidmat ejen.
"Pemohon kena bermastautin di Malaysia dalam satu tempoh, berkelakuan baik dan pemahaman terhadap bahasa Melayu mencukupi. Bila kita semak, perkara itu dipatuhi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, Saifuddin Nasution menambah, ia belum mencukupi kerana permohonan diproses mengikut Kaedah-Kaedah Warganegara 1964 yang membawa kepada keperluan mengisi Borang C dilengkapi butiran pasport dan dokumen berkaitan.
"Di sana (JPN), ada satu perkara lagi iaitu FIFA mengatakan seseorang yang mahu bermain dengan sesebuah negara, pertama pemain kena lahir di negara tersebut.
"Kedua, ibu atau bapa bagi tujuh pemain ini dilahirkan di negara tersebut dan yang ketiga, datuk dan nenek pemain dilahirkan di negara tersebut.
"Keempat, pemain telah hidup secara berterusan di satu tempat. Mana-mana satu daripada syarat ini kalau dipatuhi, pemain itu layak mewakili negara dan berdaftar dengan FIFA. Itu urusan FAM," ujarnya.
Sebelum ini, FIFA mengemukakan bukti berhubung penggunaan dokumen palsu dalam proses pendaftaran tujuh pemain berdarah warisan Malaysia.
Dalam laporan rasmi yang ditandatangani Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio, badan induk itu menjelaskan bahawa wujud percanggahan ketara antara sijil kelahiran asal yang diperoleh FIFA dengan dokumen yang dikemukakan FAM bagi menyokong kelayakan pemain-pemain terbabit.
Antara kes yang menjadi tumpuan ialah pemain tengah kelahiran Belanda, Hector Hevel apabila salinan dokumen FAM mendakwa datuknya lahir di Melaka, namun sijil asal menunjukkan tempat lahir sebenar di The Hague, Belanda.
Situasi sama turut membabitkan Jon Irazabal yang mana dokumen FAM menyatakan datuknya berasal dari Kuching, Sarawak, sedangkan rekod asal mengesahkan kelahiran di Villa de Guernica, Sepanyol.
FIFA turut menyenaraikan semakan tempat lahir asal keluarga Gabriel Palmero dilahirkan di Santa Cruz de la Palma, Sepanyol dan datuk Facundo Garcés berasal dari Santa Fe de la Cruz, Argentina.
Datuk Rodrigo Holgado pula dilahirkan di Buenos Aires, sementara nenek kepada Imanol Javier Machuca berasal dari Roldan.
Bagi João Figueiredo, datuknya berasal dari Abre Campo, Brazil.
Kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penggunaan dokumen palsu dalam urusan rasmi itu menyaksikan FAM dikenakan denda RM1.8 juta, manakala setiap pemain terbabit didenda RM11,000 serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Laporan FIFA turut memetik kenyataan JPN yang mengesahkan pihak berkuasa Malaysia tidak pernah menerima sijil kelahiran asal untuk mengesahkan salasilah pemain berkenaan, sebaliknya hanya mengeluarkan salinan berdasarkan maklumat sekunder dan dokumen luar negara.
Keputusan ini dijangka memberi kesan besar terhadap kempen kelayakan Piala Asia 2027, selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberi bayangan bahawa keputusan perlawanan Malaysia berpotensi dibatalkan dan mata kemenangan diserahkan kepada pasukan lawan sekiranya hukuman FIFA dikekalkan.
FAM diberikan tempoh selama 30 hari untuk menjelaskan bayaran denda dan tiga hari untuk mengemukakan notis rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.
Ia secara tidak langsung menjawab persoalan ramai penyokong yang sebelum ini tertanya-tanya mengenai sebab sebenar tindakan disiplin itu dikenakan walaupun semua pemain terbabit sudah beberapa kali beraksi bersama Harimau Malaya sejak Mac lalu. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami