KUALA LUMPUR: Penggunaan vaksin Comirnaty buatan Pfizer-BioNTech diluluskan bagi golongan berusia 12 tahun dan ke atas menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kelulusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-359 hari ini.

Sebelum ini, vaksin Comirnaty diberi kelulusan pendaftaran bersyarat pada 8 Januari lalu untuk tujuan imunisasi aktif kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas.

Namun, jelas Dr Noor Hisham, keutamaan pemberian vaksin masih tertumpu kepada golongan berisiko tinggi.

“Walaupun tambahan indikasi ini telah diluluskan, KKM berpandangan keutamaan pemberian vaksin masih lagi kepada kumpulan berisiko tinggi selaras dengan dasar sedia ada yang ditetapkan di bawah PICK,” kata beliau.

Tambah beliau, kelulusan tersebut juga berdasarkan penilaian data-data terkini.

“KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat  ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif.”