Kerajaan MADANI berjaya sedia 511,544 RMM, lepasi sasaran ditetapkan menerusi RMK-12 - Nga

Nga berkata antara negeri paling banyak dibina RMM ialah Lembah Klang, Selangor dan Johor. - Gambar Facebook Nga Kor Ming
JOHOR BAHRU: Kerajaan MADANI berjaya menyediakan 511,544 unit Rumah Mampu Milik (RMM) sekali gus melepasi sasaran 500,000 unit ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Ringkasan AI
- Kerajaan MADANI berjaya menyediakan 511,544 unit Rumah Mampu Milik (RMM) melepasi sasaran 500,000 unit di bawah RMK12, hasil kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan, negeri, dan pemaju swasta.
- Lima mekanisme reformasi utama diperkenalkan termasuk eSPA, HIMS, serta audit HDA; sementara KPKT menyelamatkan 1,333 projek rumah sakit dan terbengkalai, melibatkan hampir 160,000 unit rumah di seluruh negara.
- Kadar pemilikan rumah bagi keluarga Malaysia kini 76.5%, menunjukkan tahap kestabilan sosial dan ekonomi; kementerian meluluskan RM82 juta untuk Program Residensi Rakyat pertama di Johor, dengan kadar sewa yang berpatutan untuk membantu anak muda.
"Pencapaian ini antara yang memberangsangkan. Belum pernah ada kerajaan terdahulu berjaya mencapai sasaran ditetapkan.
"Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi kerajaan pertama mencipta sejarah bukan sahaja mencapai, tetapi melepasi sasaran membina 500,000 unit RMM.
"Lima mekanisme reformasi utama termasuk Perjanjian Jual Beli Secara Elektronik (eSPA), Sistem Pengurusan Berintegrasi Perumahan (HIMS) serta audit Akaun Pemajuan Perumahan (HDA). Saya yakin tiada lagi projek perumahan terbengkalai menjelang 2030," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sentuhan Kejayaan KPKT 2025 dan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Vista Tiara Johor Bahru di Vista Tiara Danga Bay di sini hari ini.
Nga berkata antara negeri paling banyak dibina RMM ialah Lembah Klang, Selangor dan Johor kerana mengikut keperluan manakala KPKT telah menyelamatkan 1,333 projek sakit dan terbengkalai, melibatkan hampir 160,000 unit rumah di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun.
"Kadar pemilikan rumah bagi keluarga Malaysia kini berada pada 76.5 peratus, menunjukkan tahap kestabilan sosial dan ekonomi yang semakin kukuh," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nga berkata kementeriannya meluluskan RM82 juta untuk pembinaan Program Residensi Rakyat (PRR) pertama di Johor, yang akan dibangunkan di Larkin.
Beliau berkata projek itu berkonsepkan pembangunan bersepadu dan berperanan sebagai rumah transit untuk anak muda, dengan pengurusan akan dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).
"Di kawasan itu, sewa tiga bilik biasanya kira-kira RM2,000, namun kerajaan menetapkan kadar RM600 untuk unit tiga bilik dan RM200 untuk unit satu bilik bagi membantu anak muda yang baru bekerja atau baru berkahwin," katanya sambil menambah projek berkenaan dalam proses tender dan pembinaannya dijangka bermula suku pertama tahun depan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


