MALAYSIA
Kerajaan masih teliti definisi buli, rakyat mahu kategori lebih luas - Azalina

Azalina menggalakkan rakyat supaya terus memberikan pandangan melalui portal Generasi Tanpa Buli yang baru dilancarkan di Putrajaya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti pelbagai pandangan sebelum membuat keputusan mengenai definisi sebenar buli bagi akta antibuli yang kini dalam proses penggubalan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kebanyakan maklum balas yang diterima melalui portal Generasi Tanpa Buli, yang dilancarkan pada 11 September, menunjukkan rakyat mahukan kategori buli yang lebih luas, bukan sahaja tertumpu kepada golongan bawah 18 tahun.
Beliau turut mendedahkan bahawa pihaknya menerima cadangan agar akta berkenaan menyediakan definisi jelas mengenai buli dan menubuhkan tribunal bagi menyelesaikan kes dengan lebih cepat.
“Setakat ini, kami masih mengkaji semua pandangan yang diterima. Banyak guru hadir dalam sesi ini dan memberikan pendapat daripada perspektif sekolah. Terdapat juga cadangan bahawa akta ini mesti mempunyai definisi jelas. Ramai juga mengharapkan tribunal diwujudkan dengan proses penyelesaian yang lebih pantas. “Semua cadangan ini akan kami teliti semula,” ujarnya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Townhall Anti Buli #Generasi Tanpa Buli peringkat Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, pada Khamis.
Azalina berkata, selepas sesi di Selangor, beliau akan meneruskan lawatan ke Johor esok sebelum ke wilayah utara minggu depan sebagai sebahagian daripada siri jelajah untuk mendapatkan pandangan masyarakat.
“Jika tidak sempat menamatkan sesi sebelum 30 September, kami akan gabungkan empat zon. Insya-Allah, pada bulan Oktober saya akan ke universiti dan akademi termasuk institusi tentera atau polis untuk mendapatkan pendapat mereka kerana institusi ini mempunyai tatatertib dalaman masing-masing.
Beliau menjelaskan bahawa mendefinisikan buli merupakan cabaran kerana tafsirannya berbeza mengikut pihak berkepentingan.
“Kerajaan tidak mahu menetapkan definisi semata-mata berdasarkan persepsi antarabangsa kerana Malaysia adalah negara pelbagai bangsa dan agama. Pandangan PIBG, sekolah, kementerian dan NGO juga berbeza.
"Sesetengah negara telah menetapkan kategori tertentu, malah beberapa perbuatan dalam undang-undang sedia ada di Malaysia boleh dikira sebagai buli, termasuk gangguan seksual dan perbuatan mengaibkan,” katanya.
Azalina turut menggalakkan rakyat supaya terus memberikan pandangan melalui portal Generasi Tanpa Buli yang baru dilancarkan di Putrajaya.
Beliau menekankan bahawa maklum balas orang ramai penting bagi memastikan akta anti-buli yang dijangka dibentangkan pada Disember ini lebih menyeluruh dan efektif.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami