Kerajaan mohon batal saman difailkan lima sekeluarga penumpang pesawat MH370

Bernama
Disember 28, 2015 08:03 MYT
Lima sekeluarga menuntut ganti rugi berhubung kematian tiga anggota keluarga mereka yang merupakan penumpang pesawat MH370. - Gambar hiasan
Kerajaan Malaysia dan tiga pihak lagi memfailkan permohonan bagi membatalkan saman difailkan lima sekeluarga yang menuntut ganti rugi berhubung kematian tiga anggota keluarga mereka yang merupakan penumpang pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac tahun lepas.
Perkara itu dimaklumkan peguam Sangeet Kaur Deo ketika ditemui pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab hari ini.
Sangeet, yang mewakili dua anak pasangan suami isteri yang terkorban dalam penerbangan itu, berkata mahkamah menetapkan 28 Jan depan untuk pengurusan kes.
Prosiding di dalam kamar itu turut dihadiri Peguam Persekutuan Shaiful Nizam Shahrin mewakili kerajaan Malaysia.
Keempat-empat defendan dalam kes saman berkenaan iaitu kerajaan, Malaysia Airlines Berhad (MAB), Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA)dan panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 23 Disember lepas.
Keempat-empat defendan dalam permohonan itu memohon supaya saman berkenaan dibatalkan atas alasan tuntutan plaintif bersifat remeh, menyusahkan dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.
MAB, selaku defendan kedua, berkata MAB hanya diperbadankan pada 7 November 2014, iaitu lapan bulan selepas berlakunya kejadian yang melibatkan penerbangan pesawat MH370 dan bukan merupakan syarikat pengganti kepada Malaysia Airlines
System Berhad (MAS), yang turut dinamakan sebagai defendan pertama dalam kes saman berkenaan.
"Akta MAS (Pentadbiran) 2015 (Akta 765) tidak secara 'ipso facto' meletakkan atau memindahkan liabiliti defendan pertama (MAS) kepada defendan kedua (MAB)," kata MAB dalam permohonan itu.
BACA: MH370: Waris penumpang China tidak percaya bukti dari serpihan pesawat
Pada 28 Ogos lepas, lima sekeluarga itu memfailkan saman terhadap kelima-lima defendan bagi menuntut ganti rugi atas kehilangan Tan Ah Meng, 46, dan isterinya Chuang Hsiu Ling@Cindy Chuang, 45, masing-masing merupakan pengarah syarikat kejuruteraan dan pembinaan serta anak sulung pasangan itu, Tan Wei Chew, 19.
Saman itu difailkan dua anak pasangan terbabit iaitu Tan Wei Hong, 15, dan Tan Wei Jie, 13, ibu bapa kepada Ah Meng, Tan Hun Khong, 84, dan Lai Chew Lai, 82, serta ibu Hsiu Ling, Chuang Hung Chien, 75, yang merupakan warga Taiwan.
BACA: Usaha pencarian MH370 di dasar laut dijangka selesai Jun 2016 - JACC
BACA: Tidak timbul isu cepat atau lambat dapatkan hasil siasatan MH370 - Liow
BACA: MH370: Misi pencarian tetap diteruskan, strategi akan diperhebat - Liow
#batal saman #DCA #kerajaan #MAB #Malaysia Airllines #MH370 #TUDM