KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Suruhanjaya Tenaga akan memudahcara proses kelulusan perlesenan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV).

Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, kerajaan mahu menjamin keselamatan pengguna dalam masa yang sama memudahcara pengusaha industri pengecas EV (CPO).

Zafrul berkata demikian selepas pertemuan Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC) yang pertama tahun ini yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri PETRA, Datuk Seri Fadillah Yusof di ibu negara, pada Khamis.

Menurut Zafrul lagi, PLUS Malaysia Berhad dengan kerjasama Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) telah bersetuju memudahcara proses membangunkan stesen pengecas di sepanjang Lebuhraya PLUS bagi menambah bilangan stesen pengecas EV.

"Ini termasuklah mengenal pasti lokasi-lokasi strategik di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah di Lebuhraya PLUS," katanya dalam muat naik di Facebook, pada Khamis.

Selain itu, Zafrul berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang meneliti kaedah penyumberan bekalan tenaga dan penggunaan tenaga mengikut waktu untuk menggalakkan aktiviti pengecasan EV menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui.

"Ini bagi memastikan penggunaan EV dapat menyumbang kepada agenda hijau negara secara berkesan.

"Di samping itu, kerajaan juga menyambut baik cadangan untuk menggalakkan model perniagaan baharu bagi mengoptimumkan pengecasan EV pada waktu penggunaan grid yang rendah," katanya.

Zafrul berkata, kerajaan akan terus memberi sokongan kepada penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui bagi aktiviti pengecasan EV, serta memperkukuhkan langkah-langkah keselamatan dalam pelaksanaan EV di Malaysia.