Kerajaan negeri Perak akan memperbaiki kelemahan yang telah digariskan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2016 Siri 1 yang dibentangkan semalam, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata kerajaan negeri menganggap ia sebagai satu teguran yang baik dalam memastikan segala kelemahan serta kekurangan dapat diatasi pada masa hadapan.

"Itu satu teguran yang baik dan kita (kerajaan negeri) terima kerana fungsi audit itu untuk membantu kita mengenal pasti kelemahan dan kekurangan agar ia dapat diperbaiki.

"Bagaimanapun kelemahan yang disebutkan itu lebih kepada pengurusan dalaman yang saya rasa ia boleh diperbaiki dan bukannya berkaitan penyalahgunaan ataupun pembelian yang begitu banyak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri majlis Jasamu Dikenang Tahun 2017 di Pusat Konvensyen Amanjaya, di sini pada Selasa.

Menjelas lanjut, Zambry berkata secara keseluruhannya prestasi kerajaan negeri Perak masih berada di antara yang terbaik di dalam negara.

"Dari segi keseluruhannya sewaktu mesyuarat audit kebangsaan yang diadakan di Perak bulan lepas, Perak sudah mendapat pengiktirafan yang baik.

"Daripada 20 jabatan yang diaudit, 15 telah mendapat lima bintang maknanya telah mencapai 75 peratus. Ia sekali gus menjadikan Perak sebagai negeri yang mendapat pengiktirafan pengurusan tertinggi dan terbaik dalam negara," katanya.

Jabatan yang mendapat lima bintang itu antaranya Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Kewangan Negeri, katanya.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2016 Siri 1, sebanyak 12 jabatan serta pejabat kerajaan negeri di Perak didapati tidak mematuhi peraturan dan prosedur utama berkaitan pengurusan kewangan.

Laporan itu menyebut, antara kelemahan dikesan ialah penggunaan panjar wang runcit; kawalan perbelanjaan; setem pos/mesin franking dan peti besi yang tidak digunakan walaupun dibeli.

Antara jabatan dan pejabat kerajaan negeri yang dikenal pasti tidak mematuhi peraturan dan prosedur adalah Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak; Pejabat Agama Islam Taiping serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Larut Matang dan Selama Taiping.

-- BERNAMA