SUNGAI SIPUT: Kerajaan negeri memperuntuk RM2.1 juta bagi pelaksanaan Program Bas Perak Sejahtera 2022 yang membabitkan empat kawasan iaitu Sungai Siput, Taiping, Manjung dan Tapah.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata bermula hari ini, Sungai Siput menjadi lokasi pertama pengoperasian perkhidmatan bas itu manakala tiga lagi kawasan akan dilaksana secara berperingkat.

"Tujuan utama kerajaan negeri memperkenal perkhidmatan ini adalah bagi memberi kemudahan kepada orang ramai yang tidak mempunyai kenderaan sendiri.

"Selain itu, kawasan yang dipilih bagi perkhidmatan bas ini juga berdasarkan permintaan komuniti dan kajian yang dibuat oleh Unit Perancang dan Pelaksanaan Negeri (UPEN) sebelum diluluskan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bas Perak Sejahtera 2022 Peringkat Daerah Sungai Siput di sini semalam.

Beliau berkata inisiatif itu membuktikan kerajaan negeri sentiasa peka dan prihatin dengan keperluan rakyat khususnya yang mendiami kawasan luar bandar.

"Harapan saya cukup menggunung agar setiap daripada kita dapat memanfaatkan kemudahan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan ini dengan sebaiknya," katanya sambil menambah kemudahan itu akan memberi manfaat kepada lebih 20,000 penduduk sekitar Sungai Siput khususnya masyarakat Orang Asli di kawasan Dewan Undangan Negeri Lintang.

Mohd Zolkafly juga berkata empat bas akan beroperasi setiap hari di kawasan itu membabitkan dua laluan sejauh 20 kilometer iaitu Sungai Siput-Karai dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bawong-Sekolah Kebangsaan Sungai Siput.

"Di setiap laluan, perkhidmatan bas mempunyai 20 hentian yang meliputi institusi pendidikan, pusat komuniti, fasiliti kesihatan, pekan serta kampung dan penempatan Orang Asli. Pengoperasian bas juga akan bermula pada 6.30 petang hingga 7.30 malam setiap hari," katanya.

Beliau berkata pengguna hanya dikenakan bayaran serendah RM1 bagi perjalanan sehala.

-- BERNAMA