ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri tidak "hangat-hangat tahi ayam" dalam usaha mengatasi kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), yang dialami berdekad lamanya.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata dia sendiri telah turun padang sebanyak 60 kali ke CIQ BSI dan 14 kali di CIQ KSAB sehingga kini, dalam mencari jalan mengatasi kesesakan di dua laluan itu yang digunakan kira-kira 300,000 rakyat Malaysia setiap hari.

Malah, beliau percaya segala langkah penyelesaian yang telah diambil dan dilaksanakan akan terus dan terus dilaksana, diperkasa dan ditambah baik untuk masa-masa yang mendatang.

Ini mengambil kira 1.2 juta Bangsa Johor iaitu 30 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Johor, yang secara tidak langsung terkesan isu ini, selain pemain industri serta para pelabur, tambah beliau.

"...setiap saat yang dibazirkan di Tambak Johor dan Linkedua disebabkan kesesakan pastinya mempunyai impak kepada ekonomi dari segi pelaburan, perdagangan, pelancongan, pendidikan dan juga hartanah.

"Namun, jika perkara ini dapat diselesaikan secara konsisten, kerajaan negeri percaya ia akan memberi keyakinan kepada para pelabur untuk melabur, juga keselesaan yang menggalakkan para pelancong untuk berkunjung ke Johor," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, hari ini.

Menteri Besar juga berkata antara sebab utama mengapa kerajaan negeri memberi penekanan terhadap isu kesesakan di kedua-dua CIQ berkenaan adalah kerana kesannya kepada ekonomi negeri Johor dan Malaysia secara keseluruhannya.

Beliau memberi contoh, syarikat berpangkalan di China JStar Motion, telah membuka kilangnya di Johor dengan nilai pelaburan sebanyak RM300 juta dan menawarkan 600 peluang pekerjaan.

"Mereka (JStar Motion) telah menyatakan penghargaan kepada kerajaan kerana aliran trafik antara Johor dan Singapura semakin lancar dan atas sebab itu juga, mereka akan melabur sebanyak RM100 juta lagi untuk mengembangkan perniagaan mereka di sini.

"Mereka akan turut menggalakkan pembekal-pembekal mereka untuk turut membuka perniagaan di bumi bertuah Johor," tambah Onn Hafiz.

Selain itu, pemain industri pelancongan juga memaklumkan bahawa perniagaan mereka juga semakin rancak disebabkan aliran trafik yang lebih baik.

"Kerancakan sektor pelancongan hari ini pastinya begitu diharapkan dan memberikan kelegaan yang sekian lama dinantikan, setelah mereka begitu teruk terkesan akibat pandemik COVID-19," tambah beliau.

Justeru, Onn Hafiz turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta agensi-agensi yang terlibat dalam mengatasi isu kesesakan di kedua-dua laluan berkenaan.

Beliau (BN-Machap) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Benut); Datuk Samsolbari Jamali (BN-Semarang); Andrew Chen Kah Eng (PH-Stulang); Datuk Zulkurnain Kamisan (BN-Sri Medan); Datuk Mohamad Najib Samuri (BN-Parit Yaani) dan Liow Cai Tung (PH-Johor Jaya).

Kesemua mereka bertanyakan usaha kerajaan negeri dalam menyelesaikan kesesakan di dua laluan berkenaan serta langkah-langkah yang telah diambil setakat ini.

-- BERNAMA