Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa kerajaan negeri Pahang dan pihak berkuasa tempatan bertindak segera menutup semua kawasan penerokaan haram sama ada yang baharu atau lama di Cameron Highlands.

Penerokaan tanah secara haram dikatakan antara faktor berlaku banjir dan tanah runtuh di daerah tanah tinggi itu.

Shahidan berkata kebanyakan tanah diteroka untuk tujuan perumahan tetapi disalahguna dengan menyewa atau menjual kepada pihak lain termasuk warga asing yang melakukan aktiviti pertanian haram.

"Kawasan hutan dahulunya dibuka oleh orang lama untuk membina perumahan, tetapi mereka menjual atau menyewa tanah itu kepada pihak lain termasuk orang Bangladesh.

"Mereka kemudian melakukan aktiviti pertanian di atas tanah tersebut," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan banjir dan tanah runtuh di Lembah Bertam dan Kampung Raja di sini, hari ini.

Beliau berkata warga asing yang menjalankan aktiviti pertanian di kawasan itu akan membawa pendatang asing tanpa izin untuk bekerja dengan mereka.

"Mungkin mereka masuk secara sah, oleh kerana dokumen mereka telah luput, mereka melarikan diri ke sini (Cameron Highlands) untuk perlindungan kerana tiada siapa yang nak hantar mereka balik ke negara asal," katanya.

Sehubungan itu, Shahidan yang bertanggungjawab mengenai Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri supaya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diberi kuasa menangkap pendatang asing tanpa izin di negara ini.

"Banyak pendatang asing tanpa izin di negara ini. Operasi pemutihan perlu diteruskan bagi mengatasi masalah ini dan jangan benarkan orang baharu masuk ke sini," tegasnya

Terdahulu, Shahidan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Negara yang melakukan tinjaun dari Empangan Sultan Yussuf ke Ringlet dan mendapati sebanyak 106 lokasi tanah runtuh berskala kecil dan besar berlaku di laluan Tapah ke Cameron Highlands itu.

Beliau turut mengarahkan pihak polis menutup laluan tersebut untuk kenderaan bermula pukul 6 petang, bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku kepada orang ramai termasuk pelancong.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang Rabu lepas, penduduk di tebing Sungai Bertam dekat sini diarahkan berpindah apabila air Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat ekoran parasnya yang semakin meningkat akibat hujan lebat.

Pekan Ringlet juga dilanda banjir kilat apabila air di sungai berhampiran naik melebihi paras tebing ekoran hujan lebat selama sejam.

Kejadian itu mengorbankan lima mangsa manakala lima lagi cedera.

Ia turut menjejaskan 203 penduduk daripada 47 keluarga di Kampung Baru dan Lembah Bertam yang terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Dewan Orang Ramai Ringlet.