NATIONAL
Kerajaan pantau rapi bekalan telur susulan penamatan subsidi berperingkat
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pemantauan tersebut akan dilaksanakan secara bersama oleh KPDN serta KPKM. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Kerajaan akan terus memantau rapi bekalan dan penjualan telur ayam bagi memastikan tiada gangguan berlaku susulan penamatan subsidi secara berperingkat yang akan bermula esok.
Ringkasan AI
- Kerajaan akan memantau bekalan dan penjualan telur ayam secara rapi melalui KPDN dan KPKM susulan penamatan subsidi secara berperingkat bermula esok.
- Subsidi telur ayam dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji sebelum dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos, dengan pengeluaran dan bekalan kini berada pada tahap stabil.
- KPKM memberi jaminan bahawa langkah-langkah intervensi akan diambil untuk mengurangkan impak terhadap kos sara hidup rakyat akibat penamatan subsidi ini.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pemantauan tersebut akan dilaksanakan secara bersama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Menurutnya, subsidi bagi telur ayam diperkenalkan ketika negara berdepan pandemik COVID-19, yang ketika itu menyebabkan gangguan kepada rantaian bekalan.
Namun, beliau menjelaskan bahawa Jemaah Menteri bersetuju keputusan KPKM untuk menamatkan subsidi secara berfasa adalah wajar memandangkan pengeluaran dan bekalan kini berada pada tahap stabil dan menunjukkan peningkatan.
“Keputusan yang dicadangkan oleh KPKM adalah munasabah, bukan hanya dari segi penjimatan subsidi, malah jumlah bekalan telur pada masa ini melebihi keperluan pasaran,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan bahawa kawalan harga telur ayam akan ditamatkan, manakala kadar subsidi akan dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji bermula esok, sebelum dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos ini.
Menurut kenyataan KPKM, keputusan tersebut dibuat selepas pihak industri memberi jaminan bahawa pengeluaran telur ayam akan kekal mencukupi dan stabil. Ia juga mengambil kira bahawa kawalan harga dan pemberian subsidi yang berlarutan tidak lagi mampan untuk kelangsungan industri serta kewangan negara.
KPKM turut memberi jaminan bahawa langkah-langkah intervensi akan diambil bagi meminimumkan impak terhadap kos sara hidup rakyat berikutan penamatan subsidi ini.