KAMPAR: Kerajaan Perak akan mewartakan kawasan penemuan fosil karang purba seluas 6.9 hektar dekat Kampung Changkat Tualang di sini, sebagai satu lagi geotapak di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, kawasan itu mempunyai keunikan tersendiri dengan pencirian nilai sumber warisan meliputi saintifik, rekreasi, estetik dan sejarah untuk diangkat sebagai geoproduk pelancongan baharu.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat dan kajian daripada para penyelidik, didapati kawasan itu mempunyai pelbagai khazanah berharga bagi membolehkan kawasan berkenaan menjadi geotapak pertama di negeri ini yang mempunyai fosil karang.

"Kita perlu ambil langkah kawalan kerana rekod sejarah perkembangan bumi itu perlu dipulihara untuk membolehkan penjanaan pengetahuan baharu bagi faedah generasi akan datang, jadi ia perlu diwartakan.

"Usaha bersepadu perlu digerakkan melibatkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Pejabat Daerah dan Tanah Kampar termasuk komuniti Kampung Changkat Tualang bagi merealisasikan hasrat itu," katanya selepas mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan di sini semalam.

Mohd Azlan Helmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah berkata, pihaknya percaya kemungkinan besar lebih banyak fosil sedemikian ada di kawasan berkenaan dan perlu dipulihara segera.

"Selain mengawal kawasan terbabit sebagai warisan geologi, pewartaan kawasan berkenaan bakal memberi peluang kepada orang lain sama ada warga tempatan atau luar, untuk melihat sendiri beratus-ratus fosil berusia ratusan juta tahun di sini.

"Ia juga boleh digunakan bagi tujuan pendidikan dan penyelidikan, selain berpotensi besar dijadikan destinasi pelancongan baharu di Perak," katanya.

Beliau berkata, penemuan yang dilakukan penyelidik Persatuan Jurupandu Pelancong Geopark Warisan Alam Semulajadi Perak (GEONAT) membuktikan suatu masa dahulu kawasan itu merupakan lautan terbuka dengan kebanjiran hidupan siput yang melekat pada batuan batu kapur puncak dalam air.

"Alhamdulillah, selepas berpenat, berpanas di kawasan itu selama tiga minggu mereka akhirnya menjumpai penemuan yang menggembirakan kerana mempunyai nilai sejarah tinggi 300 juta tahun lepas.

"Kita sebagai rakyat Perak gembira dan bersyukur dengan penemuan ini dan ia akan memberi nilai tambah ke arah usaha kita mewujudkan tarikan pelancongan Geopark," katanya. - BERNAMA