IPOH: Kerajaan Perak tidak bercadang untuk melaksanakan pembayaran premium tanah yang dilaksanakan dengan kaedah bayaran secara ansuran.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ini kerana pelaksaan kaedah pembayaran itu dikhuatiri akan mengganggu indeks prestasi utama (KPI) kewangan tahunan Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

“Berkenaan atau pertanyaan sama ada bayaran premium tanah boleh dibuat secara ansuran, saya minta maaf kita tidak dapat menyempurnakan permintaan itu.

“Hal ini kerana ia terlibat dengan audit dan sasaran atau KPI bagi pendapatan yang dijanjikan PTG, kerana PTG mempunyai KPI tertentu untuk mereka menentukan berapakah pungutan bayaran bagi setiap tahun.

“Justeru, jika dibenarkan bayaran secara ansuran, ia akan sukar bagi PTG untuk membuat ketetapan bagi KPI mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ong Boon Piow (PH-Bercham) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.

Terdahulu Boon Piow mencadangkan agar kerajaan negeri untuk melaksanakan pembayaran premium tanah secara ansuran berikutan kadar yang dikenakan kepada pemohon agak tinggi.

Sebelum itu, Mohd Fakhruddin Abdul Aziz (PN-Kamunting) yang mewakili Faisal Abdul Rahman (PN-Trong) mengemukakan soalan lisan kepada Menteri Besar berhubung masalah permohonan geran tanah yang tertangguh bagi satu tempoh yang sangat lama.

Saarani (BN-Kota Tampan) berkata berdasarkan kepada semakan dengan pihak Pentadbiran Tanah di Daerah-daerah terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kelewatan pemprosesan permohonan tanah.

Antaranya, permohonan yang tidak lengkap diterima serta kelewatan mengemukakan dokumen-dokumen sokongan yang berkaitan; proses penyediaan Permintaan Ukur dan pengeluaran pelan oleh pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan; isu permohonan Kebenaran Merancang yang belum dimuktamadkan berikutan terdapat beberapa pindaan dan sebagainya.

“Kerajaan negeri komited untuk menyelesaikan isu hakmilik tanah yang tertunggak sejak sekian lama. Usaha untuk memuktamadkan pemilikan hakmilik tanah sentiasa menjadi dasar keutamaan oleh semua lapisan peringkat di seluruh pentadbiran tanah di Perak.

“Manifestasi kepada sistem penyampaian yang efisien, kerajaan negeri telah menjalankan penurunan kuasa kepada Pentadbir Tanah bagi mempercepatkan permohonan untuk pertimbangan.

“Di samping itu, proses permohonan telah ditetapkan melalui piagam pelanggan yang digariskan iaitu permohonan pemberimilikan hendaklah disempurnakan dalam tempoh 190 hari,” jelas beliau.